PRU15: Amirudin nafi dalam bayang-bayang Azmin

Afiezy Azaman
November 5, 2022 03:49 MYT
Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan sengit lima penjuru antara Amirudin, Mohamed Azmin, Megat Zulkarnain, Aziz Jamaludin dan Zulkifli. - Foto Astro AWANI
GOMBAK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari, menafikan beliau masih berada di balik bayang-bayang pesaingnya bagi kerusi itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Amirudin yang lengkap berbaju Melayu biru muda ketika tiba di Pusat Pencalonan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu berkata, sudah dua tahun beliau tidak mengikuti perkembangan Mohamed Azmin selepas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
"Itu pandangan-pandangan yang telah lama. Sudah dua tahun lebih saya tidak ikut jejak beliau. Dan kita mengambil langkah setia dengan PH, kerana dasar kita yang jelas untuk kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.
"Beliau (Mohamed Azmin) mengambil langkah memesong ke jalan yang lain dan terbukti telah melahirkan kerajaan-kerajaan yang tidak stabil.
"Jadi, kalau saya ikut bayang-bayangnya, sudah pasti saya akan ikut beliau ke mana-mana," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Parlimen Gombak, hari ini.
Ditanya mengenai cabaran untuk memenangi kerusi panas itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, bukan mudah untuk berdepan calon lain yang berada di peringkat kepimpinan Kerajaan Pusat.
"Sudah pasti cabaran berbeza. Pastikan strategi kempen dapat dilaksanakan dengan baik. Dan PKR merasakan, 'mood' penyokong dalam keadaan sempurna.
"Dalam tempoh dua tahun, selepas Azmin tinggalkan PH, saya sudah ambil alih kelola untuk mendengar pandangan masyarakat Gombak dan gunakan segala keupayaan yang ada selaku Menteri Besar Selangor untuk membantu menyelesaikan isu setempat," tambahnya.
Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan sengit lima penjuru antara Amirudin (PH-PKR), Mohamed Azmin (PN-Bersatu) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Dua lagi ialah calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir (Perkasa-GTA), dan calon Bebas, Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.
#PRU15 #Malaysia Memilih #penamaan calon #Datuk Seri Amiruddin Shari