PRU15: Aminuddin sah ganti Anwar di Port Dickson

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 21, 2022 00:29 MYT
Anwar (empat dari kanan) mengumumkan Aminuddin (lima dari kanan) sebagai calon di kerusi Parlimen Port Dickson di Dataran Segar, Port Dickson pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan akan mewakili Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penyandang Parlimen Port Dickson ketika Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar di sini pada Jumaat malam.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR merupakan anak tempatan selain sering membantunya di Parlimen berkenaan.
“Dia layak kerana beliau orang sini (tempatan) dan selalu membantu saya di Port Dickson dan saya juga yakin orang yang saya pilih ini mandatnya sama atau lebih daripada saya.
“Saya fikir panjang kerana saya tidak mahu bebankan beliau sebab ada orang kata dia sudah pegang jawatan menteri besar. Saya nak jelaskan dia tak minta pun, jadi saya pilih orang yang peribadi kerjanya (tinggi),”katanya.
Mengulas keyakinan PH untuk mempertahankan kerusi itu jelasnya, beliau yakin dengan pencalonan Aminuddin, parti itu mampu meraih undi majoriti di kerusi berkenaan.
“Insya-Allah kita akan menang besar, ini adalah contoh yang baik,” katanya.
Sinar Harian melaporkan, Aminuddin sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan Anwar di kerusi Parlimen berkenaan.
Langkahnya menukar keahlian PKR dari Tampin ke Port Dickson tahun ini, selain bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022, April lalu sebelum memenanginya, menguatkan lagi spekulasi itu.
Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018 dengan majoriti 23,560 undi dengan memperoleh 31,016 undi.
PRK Parlimen itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan pada 12 September 2018 bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing diwakili PH dari DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PH - PKR).
#PRU15 #Aminuddin Harun #Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim
;