PRU15: Ali Biju pertahan kerusi Saratok bersama PN
Shafik Ahmad
November 2, 2022 09:15 MYT
November 2, 2022 09:15 MYT
SARATOK: Datuk Ali Biju sah akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam Selasa.
Ali, 58, dalam kenyataannya mengakui berbesar hati menggunakan logo PN bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018 dengan majoriti 989 undi.
Disebabkan situasi semasa, katanya, keputusan pucuk pimpinan untuk beliau menggunakan logo PN dalam pilihan raya kali ini tidak timbul.
PN, jelasnya, merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat Persekutuan.
“Selaku timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, saya berasa amat bertuah dapat berbakti kepada negara dan rakyat bersama rakan seperjuangan dalam GPS yang lain,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) lalu, Ali mengambil keputusan menarik diri bertanding di kerusi Dun Krian pada saat akhir.
Selain Ali yang akan mewakili Bersatu, Jugah Muyang dan Duke Janteng turut dicalonkan bertanding di Lubok Antu dan Bintulu.
Dalam perkembangan lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengumumkan calonnya iaitu Ibil Jaya Mundat bertanding di Saratok.
Sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijadual mengumumkan senarai penuh calonnya esok oleh pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
GPS sebelum ini menyatakan pendirian mereka bertanding di semua 31 kerusi Parlimen Sarawak termasuk Saratok.
Ia bakal menyaksikan pertembungan lebih daripada tiga penjuru termasuk parti tempatan lain.
Untuk rekod, Parlimen Saratok pernah diwakili oleh Datuk Seri Edmund Langgu Saga (1971-1986), Datuk Seri Peter Tinggom Kamarau (1986-2004), Jelaing Mersat (2014-2013) dan selepas itu Tan Sri William Mawan Ikom.