PRU15: Ahmad Idham bantah pencalonan Aminuddin di Port Dickson

Raja Hisyam Raja Zaid
November 10, 2022 18:53 MYT
Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengemukakan bantahan terhadap pencalonan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mewakili Pakatan Harapan di Parlimen Port Dickson pada PRU15.
PORT DICKSON: Calon Gerakan Tanah Air (GTA, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengemukakan bantahan terhadap pencalonan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, bantahan tersebut sudahpun dinyatakan oleh wakilnya selepas hari penamaan calon tempoh hari sebelum pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memintanya membuat permohonan secara bertulis.
Ahmad Idham berkata, bantahan tersebut dibuat bertepatan dengan Akta Pilihan Raya Perkara 48 (1) C.
"Ia jelas menyatakan Aminuddin tak layak menjadi calon. Ini juga turut terpakai dengan Amirudin Shaari (MB Selangor) dan turut terpakai dengan Exco-exco Kerajaan dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang bertanding.
"SPR juga cadangkan agar dibuat secara bertulis. Pada saya biarlah kita bertanding secara adil," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, hari ini.
Kata Ahmad Idham, keputusan mengemukakan bantahan dibuat selepas mendengar pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pasukan penasihat undang-undang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakilinya.
Bagaimanapun, Ahmad Idham berkata, setakat ini masih belum ada lagi sebarang respon daripada SPR.
"Peguam saya kata kita sudah boleh hantar surat tetapi kita tengok dulu SPR macam mana. Lepas pilihan raya kalau ia tidak diselesaikan, kita akan failkan ke mahkamah pulak," jelasnya.
Ujar Ahmad Idham, berdasarkan klausa peraturan sedia ada, jelas tidak membenarkan mana-mana calon untuk kekal memegang sebarang jawatan dan berpendapatan.
"Saya difahamkan jawatan (Aminuddin) itu bukan Menteri Besar sahaja, beliau juga mempunyai jawatan lain lagi.
"Lima jawatan Exco dan saya diberitahu jawatan Exco itu ada gaji juga maknanya duit yang dia dapat daripada wang rakyat," tegas Ahmad Idham lagi.
Pada PRU15 yang akan berlangsung 19 November akan menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Selain Ahmad Idham dan Aminuddin, kerusi berkenaan juga menampilkan calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Mustapha, Datuk P. Kamalanthan (Barisan Nasional) dan Abdul Rani Kulop Abdullah (Bebas).
#PRU15 #senarai calon PRU15 #tarikh mengundi #Ahmad Idham
;