PRU15: Ahli Parlimen digugurkan parti guna 'talian hayat'

Bernama
November 5, 2022 04:40 MYT
Shahidan bertanding atas tiket PN, manakala Zahidi bertanding atas tiket Bebas.
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa penyandang kerusi Parlimen yang telah digugurkan daripada senarai calon oleh parti masing-masing bertindak menggunakan 'talian hayat' dengan bertanding atas tiket parti lain.
Antaranya Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, penyandang kerusi Parlimen Arau, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Shahidan, yang sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Rozabil Abd Rahman (BN-UMNO) dan Fathin Amelina Fazlie (PH-PKR).
Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang turut digugurkan daripada senarai calon BN, pula bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berdepan saingan lima penjuru menentang Datuk Zahida Zarik Khan (BN-UMNO), Datuk Rushdan Rusmi (PN-PAS), Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah) dan Ko Chu Liang (Warisan).
Bagi DUN Titi Tinggi, Zahidi dicabar Khaw Hock Kong (Warisan), Teh Seng Chuan (PH-DAP), Izizam Ibrahim (PN-Bersatu), Mohd Shahril Md Sarif (Pejuang) dan penyandang kerusi itu Teh Chai Aan (BN-MCA).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib pula akan mempertahan kerusi Parlimen Maran sebagai calon Pas menentang Muhamad Hafiz Ishak (Bebas), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (BN-UMNO) dan Ahmad Shuhor Awang (PH-Amanah).
Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua Chang, atau Tian Chua, yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2013, memilih bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada PRU15.
Tian Chua berdepan saingan 10 penjuru dan beliau dicabar antaranya oleh penyandang kerusi itu, P Prabakaran (PH-PKR), serta bekas Timbalan Menteri Luar Datuk A Kohilan Pillay (BN-MIC).
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, yang juga penyandang Parlimen Kuala Nerus, pula memilih bertanding atas tiket BN bagi mempertahan kerusi itu.
Pada PRU14, Mohd Khairuddin menang dengan majoriti 8,447 undi.
Penyandang Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, pula bertanding atas tiket BN serta dicabar Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan), Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-PAS), Che Muhammad Asemari Che Ali (Putra) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH-Amanah).
-- BERNAMA
#PRU15 #calon digugur #talian hayat #Shahidan Kassim
;