PRU15: Adiwira dari siri Iron Man juga keluar mengundi

Sinar Harian
November 19, 2022 15:13 MYT
Mohd Shah Riduwan mengenakan kostum Iron Man selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi SK Bukit Sagu 1, Kuantan, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
KUANTAN: Pelbagai gelagat pengundi dapat dilihat sepanjang proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Ini termasuk seorang pengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1, Kuantan yang mengenakan kostum adiwira War Machine yang lengkap ‘bersenjata’ seperti yang dikenali dari komik dan filem popular, Iron Man.
Mohd Shah Riduwan Abdul Rahman, yang memakai kostum itu berjalan hampir 100 meter dari rumahnya untuk membuang undi di Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1 tersebut.
Di sepanjang perjalanan itu, Mohd Shah Riduwan turut dikerumuni kanak-kanak serta menjadi tumpuan penduduk merakam gambar 'selfie'.
Dia yang bekerja sebagai kakitangan Felda Bukit Sagu 1 mengakui teruja untuk mengundi kerana sebelum ini tanggungjawab itu dilaksanakan secara pos.
“Tahun ini saya dah tukar tempat mengundi saya, jadi saya nak buat kelainan sedikit. Lepas itu dalam masa yang sama, (penampilan saya) dapat memanggil orang yang belum belum mengundi lagi.
“Kenapa pilih kostum ini? Ni kostum War Machine Armor Mark III… dia nampak sikit ‘garang’ lah,” ujarnya.
Menurut Mohd Shah Riduwan, dia berbuat demikian dengan tujuan memeriahkan suasana mengundi bersama orang ramai dan mengakui sangat teruja mengenakan kostum berharga RM2,500 itu.
Usaha Mohd Shah Riduwan juga bagi menarik minat orang ramai terutamanya anak muda untuk menunaikan tanggungjawab mengundi selain membawa keceriaan kepada petugas pusat pengundian tersebut.
Tambah pemuda itu, keluarganya turut memberi sokongan terhadap minatnya kepada ikon adiwira tersebut.
Mohd Shah Riduwan mengambil masa hampir 20 minit untuk mengenakan kostum tersebut dengan bantuan isterinya, Siti Lailatul Mariam Mokhtar.
#PRU15 #kostum adiwira #Iron Man mengundi #War Machine Armor Mark III
;