PRU15: Abdul Rahman terima tentangan dua bekas Ahli Parlimen di Lipis

Norfarhiza Mohd Atar
November 5, 2022 16:57 MYT
Abdul Rahman (dua dari kanan) berkata, cabaran dua bekas Ahli Parlimen itu mengubah landskap politik kawasan Parlimen Lipis. - Gambar/ Astro AWANI
LIPIS: Penyandang kerusi Parlimen Lipis yang juga calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menghadapi saingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15).
Beliau dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (Perikatan Nasional) serta Aishaton Abu Bakar (Parti Pejuang Tanah Air).
Dalam pada itu Abdul Rahman berkata, kehadiran Tengku Zulpuri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Raub pada PRU14, manakala Mohamad Shahrum pula pernah memenangi kerusi Parlimen Lipis pada PRU 11 dan PRU12, mengubah landskap politik kawasan itu.
"Bagaimanapun, kita menerima secara terbuka sesiapa sahaja yang ingin bertanding di Parlimen Lipis berasaskan sistem demokrasi di negara ini.
"Melihat senario ini juga, saya dan jentera UMNO Bahagian Lipis sudah bersiap siaga mengatur strategi untuk berdepan dengan calon pembangkang pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
Abdul Rahman menjelaskan, beliau yakin pengundi Melayu dan kaum lain tetap setia dan tidak berganjak untuk memberi kemenangan kepada calon Parlimen dan DUN BN.
"Saya tidak bimbang malah yakin pengundi dalam kalangan komuniti Cina akan berpihak kepada calon BN serta mereka (pengundi) juga tidak akan menyebelahi calon PN yang terdiri daripada tokoh terkenal,"ujarnya.
Sementara itu wakil BN bagi kerusi DUN Cheka, Ho Fong Mee akan ditentang oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN); Aishaton Abu Bakar (Pejuang) dan Rashid Mohamad (PH).
Bagi calon DUN Padang Tengku, penyandangnya, Datuk Mustapa Long daripada BN akan berdepan saingan empat penjuru dengan Mohd Rostam Mustapha daripada Pejuang, Ruzi @ Nata Yusoff (PH) dan Muhamad Khaider Kamil (PN).
Di DUN Benta pula, penyandang yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak menerima tentangan daripada Rizal Jamin (PH) dan Nor Alias Ibrahim (PN).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim mengumumkan nama calon yang bertanding kira-kira pukul 12.55 tengah hari Sabtu di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
#PRU15 #Parlimen Lipis #Calon BN #Abdul Rahman Mohamad
;