PRU15: Abdul Aziz Mohd Ibno calon BN di DUN Bugaya
Hasimi Muhamad
November 2, 2022 16:32 MYT
November 2, 2022 16:32 MYT
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mengumumkan Abdul Aziz Mohd Ibno sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
PRK DUN Bugaya akan berlangsung serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
DUN Bugaya yang berada dalam kawasan Parlimen Semporna pernah menjadi kubu kuat UMNO-BN sebelum beralih kepada Parti Warisan (Warisan).
Kerusi DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 kerana sakit buah pinggang.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September 2020, Manis Muka yang bertanding atas tiket Warisan berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.
Manis Muka yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, menewaskan enam pencabar lain termasuk calon Perikatan Nasional Mohd Daud Tampokong yang hanya memperoleh 2,552 undi.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020.