PRU15: 90 tawaran, 10 teras manifesto BN akan diumumkan - Zahid Hamidi

Fareez Azman
Oktober 27, 2022 17:56 MYT
Ahmad Zahid berkata, tawaran itu terangkum dalam 10 teras utama yang akan diumumkan kelak.- Gambar fail
BERA: Barisan Nasional (BN) akan menawarkan 90 janji dalam manifesto dan aku janji kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tawaran itu terangkum dalam 10 teras utama yang akan diumumkan kelak.
"Insya-Allah kita akan lihat bahawa apabila manifesto ini dihidangkan, kita akan menghidangkan lebih daripada 10 teras utama manifesto dan aku janji kepada rakyat.
"Malah kita akan tawarkan lebih 90 tawaran untuk seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan, golongan minoriti hingga kumpulan majoriti. Kerajaan BN akan memberikan keprihatinan seluruh rakyat di negara ini," katanya.
Tambah Zahid, meskipun terdapat enam gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU15 kali ini, namun tidak dapat menandingi BN.
"Selain BN, kita ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gerakan Tanah Air (GTA), namun rakyat telah dapat melakukan perbandingan tidak ada gabungan parti lebih baik daripada parti BN setakat ini.
"Mereka (pengundi) amat rindukan BN untuk dominan semula atas kesengsaraan 39 bulan, kerinduan mereka mesti kita jawab dengan kerja keras," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut jelas Ahmad Zahid, hanya dukungan dan sokongan rakyat dapat menyambung kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya.
"Kerinduan itu kita mesti jawab dengan kerja penuh bijaksana jentera kita, walaupun kerajaan kita dipimpin Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) baru kira-kira 15 bulan.
"Tetapi kejayaan telah diperlihatkan melebihi daripada dua Perdana Menteri sebelum beliau.
"Kesinambungan ini boleh kita lakukan apabila rakyat sekali lagi memberikan dukungan secara dominan kepada calon-calon BN," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Peringkat Negeri Pahang di Dataran Kerayong di sini pada Khamis.
Dalam majlis sama, Zahid bersama Ismail Sabri turut melancarkan jentera BN Negeri Pahang bagi PRU15.
#PRU15 #Zahid Hamidi #Barisan Nasional #Manifesto
;