PRU15: 7 kenderaan dipercayai bawa pemimpin politik Sabah kumpulan akhir keluar dari kediaman Muhyiddin

Rahimah Abdullah
November 20, 2022 20:15 MYT
Antara kenderaan yang meninggalkan kediaman Muhyiddin kira-kira jam 7 malam. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tujuh kenderaan yang dipercayai membawa pimpinan parti politik Sabah adalah kumpulan terakhir keluar dari kediaman Tan Sri Muhyiddin di Bukit Damansara di sini pada Ahad malam.
Kesemua kenderaan dengan nombor pendaftaran Sabah itu beredar dari kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan kira-kira jam 7 malam.
Difahamkan, mereka sebelum itu tiba kira-kira jam 5.15 petang dan bertemu dengan Muhyiddin selama kira-kira sejam setengah.
Terdahulu, kira-kira jam 3.15 petang, tujuh kenderaan dilihat masuk ke kawasan kediaman Muhyiddin membawa beberapa pemimpin PN.
Ia termasuk Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Yong Teck Lee.
IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15
Turut kelihatan, pimpinan Pas termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam pada itu, ada desas-desus mengatakan akan ada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan turut berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu.
Astro AWANI akan mendapatkan kesahihan desas-desus berkenaan.
Keputusan PRU15 menunjukkan PN menang 73 kerusi Parlimen setakat ini termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo Pas.
Susulan itu kata Muhyiddin, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pagi Ahad berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15.
Sebagai Pengerusi PN, beliau juga yakin akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli dewan rakyat untuk membolehkannya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10.
#PRU15 #pembentukan kerajaan #Muhyiddin Yassin #Sabah
;