PRU15: 21,432 undi awal di Sabah hari ini
Hasimi Muhamad
November 14, 2022 07:21 MYT
November 14, 2022 07:21 MYT
PUTATAN: Seramai 21,432 tentera, polis dan pasangan di Sabah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses undi awal bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5 petang di Pusat Undi Awal yang ditetapkan.
Di Sabah, Kem Lok Kawi merupakan salah satu daripada lapan Pusat Mengundi Awal bagi tentera darat.
Tinjauan Astro AWANI mendapati anggota dan pasangan mula tiba di pusat mengundi berkenaan seawal pukul 7.10 pagi.
Kem Lok Kawi terletak di bawah Parlimen Putatan.
Secara keseluruhan, seramai 3,010 orang melibatkan anggota tentera, polis dan pasangan akan mengundi awal di Parlimen Putatan.
Daripada jumlah tersebut, 2,981 (anggota tentera dan pasangan), manakala 29 lagi anggota polis dan pasangan.
Bagi PRU kali ini, Parlimen Putatan menyaksikan saingan empat penjuru.
Ia melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya; Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini Sahari; Parti Warisan (Warisan) Ahmad Mohd Said dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) PoyneTudus @Patrick Payne.
Sejumlah 224,828 orang pengundi awal akan menjadi kumpulan pertama mengundi pada proses pengundian di 578 Pusat Mengundi Awal bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, hari ini.