PRU15: 2 peti undi awal Parlimen Padang Serai tiba di pusat penjumlahan undi
Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2022 18:45 MYT
Disember 7, 2022 18:45 MYT
PADANG SERAI: Dua peti undi awal dari Lokap Balai Polis Kulim Hi-tech tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Sukan Kulim Hi-tech jam 6 petang tadi.
Pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah, berkata peti undi tersebut merupakan dari 2 saluran iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas dan Merbau Pulas.
“Proses pengiraan undi bagi 2 saluran itu telah selasai awal kira-kira jam 5 petang tadi.
"Proses pengiraan undi telah pun selesai dan sebentar kami akan masukkan dalam rekod,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, jangkaan peti undi dari 46 pusat mengundi seluruh Parlimen ini akan tiba sekitar jam 8 malam nanti.
Pengundian Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon M Karupaiya yang meninggal dunia tiga hari sebelum PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Rabu, 7 Disember sebagai hari pengundian bermula jam 8 pagi hingga 6petang.
Seramai 132,955 pengundi berdaftar sebagai pemilih, layak mengundi di Parlimen Padang Serai dengan 46 buah pusat mengundi dan 230 saluran dibuka.