PRU15: 10 cadangan membentuk kerajaan gabungan pasca pilihan raya yang stabil - Bersih

Kenyataan Media
November 19, 2022 19:31 MYT
Bersih menyeru semua parti politik supaya menghormati prosedur demokrasi dan berhemat dalam percaturan politik selepas pilihan raya. - Gambar hiasan
MEMANDANGKAN Malaysia menjangkakan Parlimen yang tergantung di mana tidak ada satu parti atau gabungan yang akan mendapat majoriti mudah, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru semua parti politik supaya menghormati prosedur demokrasi dan berhemat dalam percaturan politik selepas pilihan raya untuk memastikan Malaysia bentuk Kerajaan Persekutuan stabil yang boleh bertahan penggal penuh sehingga 2027, dan diteliti oleh Parlimen yang diberi kuasa yang sepatutnya.
Daripada pengalaman negara kita pada 2018 higga 2021, Kerajaan Persekutuan tidak akan stabil jika parti Pembangkang dipinggirkan dan budaya politik “Pemenang-mengambil-semua” diteruskan. Oleh itu, pembentukan kerajaan yang stabil mesti merangkumi penyelesaian yang dirundingkan secara menyeluruh dengan rakan gabungan dan parti pembangkang utama.
Bersih ingin mencadangkan sepuluh prinsip atau matlamat berikut untuk dipertimbangkan oleh semua pihak.
Cadangan Bersih adalah seperti berikut.
1. Pembentukan Kerajaan melalui rundingan Merentas Parti
Pembentukan kerajaan baharu mesti dirundingkan oleh pemimpin parti dan bukannya melalui pengumpulan akuan berkanun (SD) atau temu bual ahli parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana kerajaan berparlimen adalah kerajaan oleh satu atau lebih parti yang disatukan oleh tadbir urus program, bukan hanya sekumpulan individu Ahli Parlimen yang berkait dengan Perdana Menteri (PM). Perjanjian yang dirundingkan itu dan juga Perdana Menteri yang dicalonkan harus diumumkan kepada orang ramai. Kemudian YDPA akan melantik calon PM yang dipersetujui.
Semua pihak mesti bertindak secara bertanggungjawab dan tidak mengheret Istana Negara ke dalam rundingan pembentukan kerajaan kerana ini menghakis kedua-dua sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
2. Blok terbesar mendapat keutamaan untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu
Untuk memaksimumkan kepastian dan kestabilan, gabungan atau parti yang memenangi bilangan kerusi terbanyak harus diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan dalam tempoh masa yang munasabah seperti seminggu. Jika gagal, peluang akan diserahkan kepada gabungan atau parti yang memenangi kerusi kedua terbesar.
3. Manifesto Membimbing Program Kerajaan Gabungan
Parti-parti yang membentuk Kerajaan Campuran harus bersetuju dengan jelas tentang dasar apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak, serta mekanisme dan prinsip panduan mengenai isu-isu baru atau yang belum diputuskan. Dalam merundingkan program Kerajaan Campuran, parti harus merujuk kepada manifesto mereka sebagai panduan agar lebih bertanggungjawab kepada pengundi mereka.
Orang ramai dan pasaran mesti bersabar bagi pihak-pihak untuk membentuk kerajaan yang stabil dan berkekalan dan bukannya kerajaan terpantas yang mungkin tidak kekal. Memandangkan Malaysia telah mengalami tiga perubahan kerajaan secara aman dalam tempoh lima tahun yang lalu, rakyat Malaysia harus bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu.
4. Kerajaan Bertempoh Penggal Penuh dengan Majoriti Selesa
Kerajaan baharu harus menyasarkan untuk berkhidmat sepenggal penuh sehingga 2027. Ini akan menanam keyakinan orang ramai dan perniagaan untuk membuat keputusan jangka sederhana, kerana mengetahui tidak akan ada perubahan kerajaan atau pilihan raya yang kerap.
Jika Kerajaan Campuran hanya mempunyai majoriti yang tipis, maka ia harus memeterai "perjanjian keyakinan dan bekalan" (CSA) dengan beberapa parti pembangkang untuk memastikan kelangsungannya dalam keyakinan dan undi bekalan, bebas daripada ancaman penarikan diri oleh ahli parlimen individu.
5. Undi Keyakinan Pengesahan
Dalam tempoh dua minggu selepas pelantikannya, Perdana Menteri baharu harus membentangkan usul keyakinan terhadap dirinya untuk memperkukuh kesahihan kerajaannya. Ini boleh melindunginya daripada cubaan untuk menggulingkan kerajaan dalam beberapa bulan akan datang.
6. Perjanjian Awam mengenai Gabungan dan Keyakinan-dan-Pembekalan
Semua perjanjian antara parti, sama ada dengan gabungan atau secara keyakinan dan bekalan, harus didedahkan kepada umum untuk ketelusan dan akauntabiliti. Perjanjian rahsia di Malaysia telah terbukti tidak boleh dikuatkuasakan dan sering menjadi punca konflik politik.
7. Pengiktirafan Kabinet Bayangan
Kabinet Bayangan harus diiktiraf secara rasmi dengan gaji, sumber dan akses kepada maklumat kerajaan yang sepadan dengan Menteri Bayangan. Ini akan menggalakkan Pembangkang Rasmi bersaing ketat dengan Kerajaan dalam dasar dan tadbir urus, dan bukannya merancang untuk menggulingkan bekas pada pertengahan penggal.
8. Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang Saksama
Untuk membina hubungan Kerajaan-Pembangkang yang sama rata, peruntukan pembangunan kawasan yang saksama harus dijamin secara sah dengan sesuatu akta parlimen.
9. Akta Pembiayaan Politik dengan mengadakan pembiayaan awam parti politik
Akta Pembiayaan Politik yang dicadangkan oleh empat Kerajaan yang lalu di bawah Najib Razak, Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri mesti diluluskan pada tahun pertama Parlimen ke-15 untuk mengukuhkan parti. Akta ini juga mesti memperuntukkan pembiayaan awam parti politik berdasarkan bahagian undi popular mereka pada pilihan raya lalu.
10. Pengasingan Pendakwaan Awam daripada Jabatan Peguam Negara
Selagi Jabatan Peguam Negara mengawal kuasa untuk menggugurkan pertuduhan jenayah, ia akan sentiasa memberi insentif kepada ahli mana-mana "Kluster Mahkamah" untuk menggulingkan kerajaan dan memasang AG yang mesra. Memandangkan kebanyakan pihak secara terbuka komited terhadap pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada AG, pembaharuan ini harus menjadi sebahagian daripada sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan atau CSA.
Di samping itu, semua Ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah tidak harus berpegang jawatan dalam Kabinet dan mana-mana jawatan eksekutif lain sehingga kes mereka diselesaikan sepenuhnya oleh Mahkamah. Ini akan melindungi Kerajaan Campuran daripada dakwaan seperti perjanjian politik, terutamanya semasa AGC masih mempunyai kuasa yang tidak terkawal yang boleh disalahgunakan untuk menyebabkan pendakwaan terpilih atau sewenang-wenangnya.
Kita mampu buat parlimen gantung berfungsi dengan baik
Parlimen yang digantung mungkin memberi Malaysia peluang terbaik untuk meningkatkan politik kita daripada pergaduhan dan naungan etnik-agama. Sudah tentu, ia mungkin jandi mimpi ngeri terburuk juga jika parti enggan wujud bersama dan bersaing secara adil sesama sendiri selepas pilihan raya.
Malaysia berhak mendapat yang lebih baik dan Bersih berharap mana-mana parti yang berjaya membentuk kerajaan selepas 19 November akan menanggap ini sebagai peluang untuk memperkukuh institusi semak dan imbang seperti Parlimen dan Badan Kehakiman supaya mana-mana kerajaan yang dibentuk seterusnya boleh dipertanggungjawabkan oleh Rakyat.
Dikeluarkan oleh:-
Jawantankuasa Pemandu
Bersih
#PRU15 #Bersih #Parlimen Tergantung #cadangan pasca-PRU
;