PRU14: Tun Mahathir tidak mahu bertanding, Kit Siang 'mungkin'

Isabelle Leong
September 6, 2017 19:33 MYT
TUN MAHATHIR: -Itulah persoalan yang sering dilontarkan. Kami tidak boleh mengatakan tidak sepenuhnya kerana kami mungkin mempunyai keperluan masing-masing."
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum yang akan datang (PRU14).
Namun katanya penasihat DAP Lim Kit Siang berkemungkinan masih ingin menjadi calon.
“Itulah persoalan yang sering dilontarkan. Kami tidak boleh mengatakan tidak sepenuhnya kerana kami mungkin mempunyai keperluan masing-masing.
“Tetapi buat masa ini, saya tidak mahu menjadi calon lagi,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam forum “Insight Talk – Saving Malaysia: Friends and Foes” yang disiarkan langsung di Facebook Live pagi tadi.
Apabila ditanya soalan yang sama Lim hanya menjawab ringkas “mungkin”.
“Kami mesti mendekati golongan muda dan anak-anak muda mesti memainkan peranan.
“Ini tidak bermakna ‘orang lama’ tidak mempunyai peranan. Sebenarnya, saya ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia yang berusia 70-an, 80-an dan juga 90-an bersama-sama golongan muda Malaysia untuk menetapkan semula dasar pembangunan negara,” tambah Lim.
Lim sebelum ini mengumumkan bahawa PRU14 akan menjadi pilihan raya terakhir beliau selepas berkecimpung di dunia politik selama 51 tahun.
#calon #DAP #Facebook Live #Lim Kit Siang #Pakatan Harapan #PRU-14 #Tun Mahathir
;