PRU14: TPM Zahid tegur pengusaha inap desa 'cekik darah' di Perak
Aida Aziz
April 22, 2018 17:26 MYT
April 22, 2018 17:26 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur pengusaha inap desa di negeri ini yang mengambil kesempatan sempena demam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan mengenakan harga melampau.
Menurutnya, tidak salah untuk mereka membuat keuntungan sepanjang tempoh PRU14 ini dengan menaikkan harga bilik berikutan permintaan tinggi, namun tidak adil sekiranya kadar yang dikenakan terlalu melampau sehingga melebihi dua kali ganda.
Katanya, ada sesetengah pengusaha ‘menuai hasil’ sehingga membebankan orang ramai pada detik-detik akhir menjelang PRU.
“Seperti di sini (Bagan Datuk) misalnya, inap desa penuh dan tidak ada tempat untuk anak Bagan Datuk balik yang datang berkunjung. Hotel penuh di Teluk Intan; Simpang Empat pun sama.
“Dulu homestay berharga RM50 jadi RM80 dan ada yang naik sampai RM100, dan akhir semalam saya dengar satu bilik, bukannya satu rumah mencecah sehingga RM160.
“Saya mintalah pengusaha ini walaupun ikut penawaran dan permintaan, tolonglah biar berpadanan. Yang penting mereka tidak terbeban. Walaupun ini masa untuk ‘menuai’, janganlah terlalu menjadi keluang atau kelawang untuk kutip untung,” ujar Ahmad Zahid pada majlis Pecah Tanah Teedo Resort, di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid turut menzahirkan kebimbangan di atas tindakan pengusaha inap desa itu yang hanya akan merugikan diri sendiri.
“Saya khuatir di luar musim ‘menuai’ (PRU) nanti, mereka tidak punya pelanggan. Sebab harga terlalu mahal maka tidak ada lagi orang yang akan datang ke inap desa. Harga biarlah munasabah dan berpada-pada, jangan ambil kesempatan di musim-musim sebegini,” katanya.
#homestay
#hotel
#inap desa
#MalaysiaMemilih
#pilihan raya umum
#Pilihan Raya Umum ke-14
#PRU14
#Teluk Intan
#Zahid Hamidi