PRU14: Senarai calon BN akan diumum pengerusi negeri - TPM Zahid
Nazialita Geynna Maharan
April 19, 2018 17:52 MYT
April 19, 2018 17:52 MYT
Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diumumkan pengerusi BN Negeri masing-masing.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap pengerusi BN Negeri telah diberi kuasa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN untuk mengumumkan calon masing-masing.
Justeru, katanya, tidak wujud majlis penyerahan watikah pencalon kepada calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra secara berperingkat bermula Jumaat ini sepertimana diuar-uarkan.
"Kami (kepimpinan BN) telah menyerahkan tarikh (pengumuman calon) yang sesuai kepada beliau (pengerusi BN negeri-negeri), jadi kita serahkan kepada mereka semua.
"la tak perlu ada hint (bayangan tarikh pengumuman) daripada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Kampung Parit 5, Sungai Sumun, di sini hari ini.
Ahmad Zahid menasihatkan ahli parti agar tidak mendengar khabar angin kerana dakwaan tersebut tidak tepat dan sebaliknya merujuk kepada pucuk pimpinan BN sendiri.
"Khabar angin ini biasalah, janganlah tulis tentang berita yang berasaskan khabar angin. Saya bercakap ini sebagai Timbalan Pengerusi BN. Ini bukannya khabar angin, ini khabar betul,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pada 15 April lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN dijangka mengumumkan senarai calon PRU14 dalam tempoh tujuh atau 10 hari sebelum penamaan calon pada 28 April nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sebelum ini telah menetapkan 28 April bagi penamaan calon, 5 Mei pengundian awal, 9 Mei sebagai hari pengundian.
#Barisan Nasional
#MalaysiaMemilih
#Najib Razak
#pilihan raya umum
#PRU14
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tengku Adnan
#UMNO
#Zahid Hamidi