PRU14: Sabah masih 'simpanan tetap' BN?

Tan Su Lin
Mei 8, 2018 05:50 MYT
Adakah anak-anak Sabah ini bakal menikmati pembangunan yang lebih rancak, kehidupan lebih selesa atau lebih banyak peluang pekerjaan selepas PRU14 ini? - Astro AWANI / Gambar hiasan
Jam menunjukkan 5.45 pagi, Sang Suria telah mula menyinari bumi Sabah.
Jika Semenanjung masih dibuai mimpi, rakyat di negeri di bawah bayu ini sudah mula bangkit dan menjalani kehidupan seharian.
Bezanya pada hari ini, mereka ada tanggungjawab besar untuk memilih wakil rakyat di 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Sejumlah 1,117,337 pemilih berdaftar di Sabah yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) hari ini.
Namun sebelum keluar menunaikan tanggungjawab itu, ada di antara pembaca yang masih membuat perhitungan saat-saat akhir calon atau parti mana yang menjadi pilihan hati.
Sama ada ketika sedang menghirup kopi, atau baca surat khabar atau layari astroawani.com untuk mendapat ilham.
Namun penulis percaya rata-rata pengundi telah pun membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada dalam tangan, hasil ceramah dan kempen pilihan raya.
Pelbagai isu diketengahkan sepanjang 11 hari berkempen, namun lebih menjurus kepada isu lokal seperti memperjuangkan hak-hak Sabah.
Rakyat Sabah kini perlu memilih sama ada mahu perubahan seiring slogan 'Sabah Ubah' yang sering dilaungkan parti pembangkang; atau meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri itu di bawah Barisan Nasional (BN).
Buat pertama kali dalam sejarah Sabah sejak era-Berjaya, BN bakal berdepan saingan paling sengit terutamanya daripada Parti Warisan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bukan mahu menidakkan parti-parti pembangkang yang lain di Sabah, tetapi ini merupakan kali pertama parti pembangkang sebesar seumpama Parti Warisan yang bertanding di hampir kesemua kerusi di Sabah.
Persoalannya mampukah sentimen 'ubah' yang dibawa Parti Warisan meyakinkan pengundi Sabah?
Hakikatnya, tiada sesiapa yang punya jawapan kepada persoalan itu, namun yang pasti keputusan PRU kali ini bakal jadi kayu pengukur parti itu.
Tiga kerusi Parlimen Sabah kini milik pembangkang iaitu Penampang, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Masihkah Sabah boleh diharap sebagai 'simpanan tetap' BN?
Penganalisis melihat Sabah bakal menjadi penentu kemenangan BN, kerana jumlah kerusi di Parlimen Sabah kini amat diperlukan untuk menang dan membentuk kerajaan.
Bagi menyokong BN mahupun pembangkang, pilihan mereka cukup jelas, kini tinggal lagi pengundi atas pagar yang bakal jadi penentu kemenangan di Sabah.
Barangkali selepas membaca artikel ini bakal dapat ilham?
Keputusan yang diambil bergantung kepada asasnya, apakah yang dimahukan oleh pengundi Sabah?
Adakah ia pembangunan yang lebih rancak, kehidupan lebih selesa atau lebih banyak peluang pekerjaan?
Itu bakal menjadi sandaran kepada pilihan calon atau parti yang dapat merealisasi harapan penduduk.
Yang pasti, rata-rata mahu memilih untuk masa depan lebih cerah bagi Sabah.
PRU13 menyaksikan pembangkang menjaja slogan 'Ini Kali Lah' namun sebaliknya yang berlaku, rakyat Sabah bersuara - 'Lain Kali Lah'.
Adakah 'Ini Kali Lah' benar-benar berlaku pada PRU kali ini, atau sekali lagi 'Lain Kali Lah'?
#deposit tetap #isu lokal #MalaysiaMemilih #Mohd Shafie Apdal #perubahan #pilihan raya umum #politik #PRU14 #Sabah #Sabah Ubah #Simpanan Tetap #ubah #Warisan
;