PRU14: PM sasarkan 40,000 undi majoriti di Parlimen Pekan

Mohd Zalani Md Atan
Mac 31, 2018 11:33 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Parlimen Pekan bagi PRU14 hari ini. - BERNAMA
Barisan Nasional (BN) mensasarkan 40,000 undi majoriti bagi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Sasaran itu meningkat berbanding PRU13 yang mencatatkan 35,613 undi majoriti dalam Parlimen itu.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu ahli BN berpegang teguh kepada konsep wala' atau kesetiaan terhadap pemimpin sekiranya mahu parti itu terus kukuh dan memenangi PRU14.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, soal dalaman menjadi aspek penting dalam menentukan hala tuju sesebuah parti dan bukannya faktor-faktor luaran.
"Dalam PRU13, Pekan telah muncul sebagai Parlimen majoriti tertinggi dalam kalangan semua calon Barisan Nasional. Pada PRU14 nanti, kita nak tetapkan sasaran baru… 40,000 (undi majoriti) sasaran Parlimen Pekan nanti. InsyaAllah," katanya ketika pelancaran jentera pilihan raya BN Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Najib turut mengingatkan ahli BN agar sentiasa menjaga maruah parti dan membela nasib parti jika ada pihak yang cuba memburukkan parti.
#Barisan Nasional #Najib Razak #Parlimen Pekan #Pekan #pilihan raya umum #PRU14