PRU14: Pengundi Cameron Highlands pentingkan kriteria calon - kajian
Astro Awani
Mac 1, 2018 06:17 MYT
Mac 1, 2018 06:17 MYT
Pengundi di Cameron Highlands mementingkan kriteria calon melebihi isu tempatan dan parti sebagai wakil mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hasil kajian pada dua bulan pertama tahun ini mendapati, 91.3% responden menitikberatkan kriteria calon untuk dipilih.
Pada masa sama, isu tempatan (54.3%) dan parti (51.9%) menjadi faktor kedua dan ketiga dalam kriteria pemilihan wakil rakyat menurut kajian itu.
"Dari segi kriteria calon yang mahu ditampilkan, 75.8% responden atau pengundi di kawasan ini mahu calon yang bertanggungjawab, selalu turun padang (62.2%) dan mesra rakyat (51.2%).
"Dari segi pilihan parti bertanding pula, pengundi Cameron Highlands jelas memberi isyarat positif untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) dengan 43.3 peratus setuju untuk memilih BN, sementara pembangkang (33.8%) dan lain-lain parti (22.8%)."
Kajian bertajuk Persepsi Mengenai Isu dan Kepimpinan Dalam Kalangan Masyarakat Cameron Highlands itu dijalankan kumpulan pengkaji bersama pembanci dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan melibatkan 664 responden.
"Lebih menarik, 42.3% pengundi yang ditemui juga mahu BN terus berada di Cameron Highlands, sementara yang tidak bersetuju (39.5%) dan tidak pasti (18.1%).
"Sementara itu, 41.6% pengundi juga tidak bersetuju pembangkang menjadi wakil rakyat mereka," jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Daripada dapatan kajian sama juga, dua nama calon ditampilkan iaitu Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran dan Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Daripada keduanya, nama Wan Rosdy lebih menjadi pilihan, namun Parlimen Cameron Highlands adalah kerusi tradisi bagi MIC," jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, pengundi melihat masih terdapat pertelingkahan di dalam jentera BN selain perebutan kerusi Parlimen itu di antara MIC dan PPP memberi sedikit kelebihan kepada pembangkang.
"Kajian turut mendapati masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands dijaga dengan baik dan sebarang isu melibatkan mereka sentiasa didengar serta cuba diselesaikan dalam masa yang singkat.
"Dalam pada itu, hasil kajian sama juga mendapati 42.5% responden yang ditemui tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata," jelas kenyataan itu lagi.