'PRU14: PAS tidak ketandusan calon'

Muhafandi Muhamad
Ogos 2, 2017 19:21 MYT
Mohd Amar berkata, calon yang bakal ditampilkan kelak mestilah calon popular yang mampu menang dan disukai rakyat di kawasan berkenaan, kata Mohd Amar.
PAS tidak ketandusan calon untuk ditampilkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bahkan menurut Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, PAS sudah menyenaraikan calon yang dikemukakan kawasan masing-masing seluruh negara.
Katanya, PAS kini sedang dalam peringkat mengenal pasti calon yang sesuai dan akan memilih senarai pendek apabila tarikh pilihan raya diketahui kelak.
"Cadangan nama sudah ada, sekarang kita sedang memantau dan mengenal pasti calon. Bila bubar Parlimen, masa itu kita boleh (buat) senarai pendek dan tengok dan umum.
"Kita tak nak bagi tahu sekarang. Cara kita, kita kumpulkan cawangan buat kajian awal pilihan raya.
"Cawangan diberi peluang mencalonkan nama sekurang kurangnya tiga orang untuk satu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima (untuk Parlimen). Di situ kita buat analisis, dan susun ikut keutamaan," katanya.
Mohd Amar berkata demikian selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan, PAS kawasan kebiasaannya mencadangkan antara tiga dan lima nama calon bagi kerusi Parlimen dan DUN.
Katanya, senarai awal calon yang dikemukakan itu boleh berubah berdasarkan keadaan dan penilaian.
Tambahnya, PAS mengutamakan calon boleh menang dengan tidak meletakkan kepentingan kepada latar belakangnya sama ada dari kumpulan ulama, pendakwah atau profesional.
Calon yang bakal ditampilkan kelak mestilah calon popular yang mampu menang dan disukai rakyat di kawasan berkenaan, kata Mohd Amar.
Sebelum ini, PAS menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU akan datang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ahli dan pimpinan PKR Kelantan yang menyandang jawatan lantikan politik di negeri itu setakat ini belum menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.
Katanya, kerajaan negeri Kelantan sebelum ini membuat keputusan tidak akan memecat mereka sebaliknya memberikan peluang untuk mereka menyandang jawatan lantikan politik sehingga PRU14.
#calon #Kelantan #lantikan politik #Mohd Amar Nik Abdullah #PAS #peletakan jawatan #pilihan raya umum #PKR Kelantan #PRU14 #senarai pendek
;