PRU14: Muhyiddin pertahan Pagoh, tanding kerusi DUN Gambir

Hakim Rahman
April 19, 2018 00:35 MYT
Selain Parlimen Pagoh, Muhyiddin juga bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
Teka-teki sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh akhirnya terjawab selepas beliau diumumkan bertanding di kerusi yang dipegangnya itu sejak 1978.
Selain Parlimen Pagoh, Muhyiddin juga bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah Jelajah Harapan di Kampung Seri Tanjung di sini, sebentar tadi.
Dr Mahathir turut mengumumkan 10 calon kerusi Parlimen dan 18 calon kerusi DUN yang akan bertanding di Johor.
PPBM menampilkan muka baharu seperti Setiausaha Agong PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh di kerusi Parlimen Sri Gading dan Dr Mazlee Malik di kerusi Parlimen Simpang Renggam selain Syed Saddiq Abdul Rahman di Muar yang diumumkan sebelum ini.
Sepuluh kerusi Parlimen yang akan ditandingi PPBM adalah Pengerang, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Tanjung Piai, Pagoh, Simpang Renggam, Sri Gading dan Muar.
Manakala bagi kerusi DUN pula di Buloh Kasap, Tenang, Sri Medan, Parit Raja, Semerang, Machap, Kahang, Endau, Panti, Puteri Wangsa, Permas, Larkin, Kempas, Bukti Permai dan Benut, Bukit Kepong, Bukit Pasir dan Gambir.
"Saya yakin calon-calon kita setia kepada Pakatan Harapan walaupun dihulur wang berjuta ringgit, mereka akan terus jadi calon, dan kita akan tentukan calon-calon kita tidak terikat dengan mana-mana perjanjian atau muflis atau mempunyai kes. Cuma calon yang bersih saja bertanding," kata Dr Mahathir dalam ucapannya.
Jelajah Harapan di Pagoh yang menjadi pangkalan politik Muhyiddin juga menayangkan dokumentari Muhyiddin di mana antara lain memaparkan kisah bagaimana beliau dipecat sehinggalah kepada sumbangannya di Pagoh.
#Kota Tinggi #Mahathir Mohamad #Muar #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parlimen #PPBM
;