PRU14 merupakan kilang fitnah pembangkang - Najib
Astro Awani
Mei 5, 2018 16:48 MYT
Mei 5, 2018 16:48 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak meyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan 'kilang fitnah' atau 'tsunami fitnah' apabila dakyah tidak benar itu ditaburkan pembangkang secara berleluasa dalam usaha menghasut rakyat membenci kerajaan.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengingatkan rakyat agar tidak mudah percaya dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang terutamanya yang disebarkan menerusi media sosial.
Katanya, pembangkang sebenarnya cuba membuat penipuan politik dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.
"Kita jangan percaya dengan ucapan mereka. Di dalam media sosial dan sebagainya sebab orang kita ni dia suka dengar bila orang mengata orang lain.
"Orang putih kata kalau anjing gigit orang itu bukan berita tetapi kalau orang gigit anjing itu berita. Sebab itu kita dengar tidak apa tetapi jangan terima sebab musim ini musim mereka mencipta kilang fitnah tuan-tuan dan saya dah sebut tsunami fitnah akan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis bertemu rakyat kawasan Parlimen Kepala Batas di Kampung Pasir Gebu, Penaga, pada Dabtu.
Tambah Najib, selain tsunami fitnah, pembangkang juga hanya memberi harapan palsu kepada rakyat dengan pelbagai janji manis mereka.
Kata beliau, ini terbukti apabila badan antarabangsa yang membuat kajian ke atas manifesto pembangkang menyifatkan ianya tidak boleh dilaksanakan selain hanya berupa janji palsu.
"Selain tsunami fitnah sebagai senjata untuk membenci kerajaan, satu lagi, mereka jual janji palsu janji manis tapi beracun, lidah bercabang," katanya.