PRU14 medan uji kesetiaan Bangsa Johor

Hakim Rahman
Mei 8, 2018 19:08 MYT
Faktor apakah yang akan mempengaruhi corak pengundian di negeri Johor dalam PRU14 ini?
Lahirnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Johor pada 1946 bertitik tolak daripada semangat orang Melayu untuk menentukan masa depan mereka dan tanah air setelah sekian lama dijajah.
Sejak itu, parti keramat bangsa Melayu itu menjadi tulang belakang politik orang Melayu sehingga Johor menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.
Kecemerlangan BN mentadbir Johor dapat dilihat di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah berjaya membawa Permata Selatan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Malah cita-citanya untuk tidak mahu lagi Johor dilihat sebagai sekadar halaman belakang kepada Singapura terserlah dalam manifesto BN Johor yang misi utamanya “Mengejar Singa” dengan lima teras utama pemaju kemajuan Johor.
BACA: BN Johor lancar manifesto 'mengejar' Singapura
BACA: Kad laporan serlah potensi Johor jadi negeri termaju
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, tidak dapat dinafikan, sokongan politik rakyat terhadap BN sedikit berubah.
Buat pertama kali dalam sejarah, BN Johor kehilangan majoriti dua per tiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Johor terkena tempias pergolakan politik di peringkat nasional.
“Dalam konteks politik sudah berlaku perubahan yang agak besar di Johor bukan kerana isu-isu negeri, kerana secara umumnya pembangunan yang dilakukan BN Johor diterima baik.
“Proses modenisasi itu masih lagi mempertahankan nilai-nilai tradisional berkaitan integriti dan tadbir urus yang baik yang secara tidak langsung menyentuh hal rakyat seperti isu kos sara hidup.
“Malah kesudian PH meletakkan calon-calon muda tempatan berdepan dengan orang lama dalam politik bukan bermakna bersifat melawan tetapi kerana mempertahankan intergriti,” kata Prof Madya Dr Kassim Thukiman, yang melakukan kajian politik melayu di Johor.
Kerusi Parlimen Johor Bahru dan Muar misalnya menyaksikan pertembungan dua tokoh politik BN Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Seri Razali Ibrahim dengan calon muda Syed Saddiq dan Akmal Nasir.
Begitu juga di Pagoh, pertembungan antara guru dan anak didik, iaitu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Mohamed yang mempertahankan ideologi politik dan integriti masing-masing.
BACA: Pertembungan kerusi panas Johor
Jelajah PH yang diadakan di Pagoh, Muar dan Pasir Gudang juga mendapat sambutan luar biasa penduduk tempatan dan sekitarnya.
Sambutan itu antara lain disumbangkan formula pemilihan lokasi jelajah itu sendiri, iaitu menyasarkan kawasan dengan lingkaran majoriti Melayu, selain mengetengahkan pelbagai isu dan sentimen negeri serta nasional.
Penganalisis melihat kesan gelombang ini akan menyebabkan kerusi-kerusi marginal BN akan jatuh ke pihak lawan manakala kerusi yang dimenangi dengan selesa sebelum ini akan berlaku pengurangan majoriti.
“Nasib BN di Johor kritikal. Undi bukan Melayu kini berada di paras paling maksimum kepada PH, manakala BN mengalami hakisan sokongan Melayu yang ketara.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Pakatan Harapan Johor dan pasukannya berjaya merobek kubu terkuat UMNO di Malaysia.
“BN bertahan dengan ‘approval rating’ yang tinggi kepada Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor,” kata Hisommudin Bakar, Pengarah Eksekutif ILHAM Centre.
Ikuti MalaysiaMemilih.com untuk mengetahui kedudukan kerusi PARLIMEN dan DUN Johor pada PRU13 lalu.
Kajian-kajian dan tinjauan di lapangan mendapati rata-rata rakyat Johor bercakap mengenai isu-isu di peringkat nasional seperti kekurangan rumah mampu milik, peningkatan tangga gaji yang perlahan berbanding kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta hal-hal berkaitan tadbir urus yang baik.
Inilah antara isu yang menjadi pertimbangan warga Johor dalam membuat keputusan antara mempertahankan integriti dan kepercayaan mereka ataupun memilih kestabilan dan kemajuan.
Persoalan mengenai 'kesetiaan' 1.8 juta pengundi bangsa Johor terhadap pembangunan dan rekod pencapaian baik yang ditunjukkan Khaled Nordin akan terjawab 9 Mei ini.
“Ada kemungkinan berlaku ‘split voting’ iaitu mereka memberikan undi kerusi DUN terhadap BN manakala kerusi Parlimen diberikan kepada PH kerana dibayangi isu nasional,” kata Dr Kassim Thukiman.
#Barisan Nasional #Johor #Johor Bahru #MalaysiaMemilih #Manifesto #Melayu #Mohamed Khaled Nordin #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #PKR #politik #PRU14 #rakyat #UMNO
;