PRU14: Kit Siang elak bertemu media berhubung pendedahan propaganda parti
Nazialita Geynna Maharan
Mei 7, 2018 08:31 MYT
Mei 7, 2018 08:31 MYT
Penasihat DAP, Lim Kit Siang malam tadi dilihat cuba mengelak ditemu ramah pihak media tentang pendedahan yang dibuat ahli partinya sendiri berhubung risalah dan rakaman video yang didakwa memfitnah kerajaan.
Pendedahan tersebut dibuat Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat merangkap Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP, Amran Ahmad yang mendakwa memiliki puluhan bahan bukti berkenaan yang didakwa turut memfitnah pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Wakil media yang hadir membuat liputan ceramah beliau di Anson Kopitiam di sini cuba mendekati Kit Siang sebaik sahaja beliau habis berceramah dan turun daripada pentas sekitar 10.15 malam.
Namun usaha itu gagal apabila Kit Siang tidak mengendahkan kehadiran wakil media dan pantas meninggalkan lokasi ceramah.
Sebelum itu, usaha pihak media mendapatkan laluan berjumpa Kit Siang juga tidak dilayan oleh beberapa pegawai beliau sebaik pemimpin DAP itu tiba untuk majlis pada 9.30 malam.
Tindakan Kit Siang itu ternyata mengecewakan wakil media yang telah menunggu beliau sejak 7.30 malam lagi.
Amran, yang juga penolong penerbit televisyen dalam talian rasmi DAP, UbahTV pada Ahad mendakwa puluhan bahan propaganda berniat jahat dan berunsur fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian Rabu ini.
#Amran Ahmad
#Barisan Nasional
#DAP
#fitnah
#Lim Kit Siang
#MalaysiaMemilih
#Najib Razak
#Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP
#Perdana Menteri
#PRU14
#Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat
#video