PRU14: Jangan terlalu gembira, ramai bersedih tak jadi calon - TPM Zahid

Harits Asyraf Hasnan
April 24, 2018 18:28 MYT
Ahmad Zahid Hamidi berkata penting untuk calon-calon menyelesaikan masalah dalaman secepat mungkin. -Bernama
Calon-calon yang terpilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jangan terlalu gembira dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti lantaran ramai yang masih kecewa kerana tidak terpilih.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penting untuk calon-calon menyelesaikan masalah dalaman secepat mungkin bagi memastikan kekecewaan mereka yang tidak terpilih tidak memberi kesan kepada prestasi BN pada pilihan raya.
“Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua orang yang terpilih menjadi calon tentukan bahawa kalau ada permasalahan di kalangan kumpulan kecewa ini, langkah-langkah segera mesti dilakukan dalam tempoh berbaki ini sebelum penamaan calon.
“Kita mesti memenangi hati dan minda mereka, mereka yang berada dalam kumpulan kecewa ini mesti dibawa bersama-sama mengharungi PRU14,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN Perak di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengersui BN menegaskan adalah mustahil untuk pucuk pimpinan BN memuaskan hati semua pihak dalam isu pencalonan setiap kali menjelang pilihan raya.
“Kemustahilan ini sudah tentu mengundang kekecewaan daripada mereka yang tidak dicalonkan, apabila ada yang kecewa sudah tentu mengudang permasalahan.
“Kemenangan dan kekalahan kita adalah bergantung kepada penyelesaian masalah dalaman parti, jadi kita perlu selesaikan masalah ini secepat mungkin, yang terpilih jangan terlalu seronok kerana di luar sana ramai yang kecewa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesa calon-calon yang dipilih untuk memastikan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan BN khususnya pengerusi Datuk Seri Najib Razak dibalas dengan usaha bersungguh-sungguh bagi memenangi kerusi diwakili.
#Barisan Nasional #calon #Calon BN #jangan bersedih #MalaysiaMemilih #Najib Razak #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Zahid Hamidi
;