PRU14: Jangan jadikan agama sebagai 'barang dagangan' - Asyraf Wajdi

Muhafandi Muhamad
April 16, 2018 18:04 MYT
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu wajar diberikan perhatian serius bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara. -Gambar fail
Pemimpin parti politik diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan agama sebagai “barang dagangan” untuk menagih simpati dan sokongan terutama dalam fasa akhir kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu wajar diberikan perhatian serius bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara.
"Musim pilihan raya ini, kita boleh dengar ayat-ayat al-Quran dan hadis dijual sewenang-wenangnya untuk menagih simpati, sokongan dan dokongan. Cuma nasihat saya, sebagaimana perintah Allah swt dalam al-Quran, 'Jangan kamu jual beli ayat-ayat ku dengan harga yang murah, nilai yang murah'.
"Saya mengharapkan kita harus ada sempadan dan batasan dalam kita berkempen dan berpolitik, ikut adab dan akhlak yang ditetapkan oleh Islam, terutama untuk mereka yang beragama Islam," kata Asyraf.
Beliau berkata tindakan sesetengah pemimpin politik yang licik menggunakan potongan ayat-ayat suci al-Quran dan petikan hadis yang ditafsir mengikut kepentingan politik bagi tujuan mengelirukan rakyat ketika berkempen disifatkan amat tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan.
Tambah Asyraf Wajdi, tindakan memperdagangkan agama ketika berkempen juga boleh memporak-perandakan negara dan membawa kepada perpecahan ummah sekiranya tidak dibendung.
Justeru, beliau menasihatkan parti-parti yang bertanding supaya meletakkan batas dan sempadan dalam berkempen dan berpolitik serta mengikut adab dan akhlak yang telah ditetapkan dalam Islam.
Beliau ditemui media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan RM500 kepada 247 penduduk terjejas banjir di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh, siang tadi.
#Al-Quran #Asyraf Wajdi Dusuki #hadis #kesucian agama Islam #pilihan raya umum #Pilihan Raya Umum ke-14 #PRU14
;