PRU14: Idris Haron, Mas Ermieyati pertahan kawasan

Astro Awani
April 23, 2018 12:12 MYT
Pengerusi Barisan Nasional Melaka Datuk Seri Idris Haron akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada PRU14. - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) Melaka hari ini mengumumkan calon-calon parti itu dengan mengetengahkan 12 muka baharu bagi berentap di enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin masing-masing kekal mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lalu iaitu di DUN Sungai Udang dan Parlimen Masjid Tanah.
Turut mencuri tumpuan apabila Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang dahulunya tewas di tangan pembangkang, kembali dicalonkan di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Bukit Katil.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah yang juga penyandang Parlimen Tangga Batu, beralih arah dan bakal berentap di DUN Paya Rumput.
Idris ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon itu berkata, barisan calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi pada kali ini dikira paling mantap untuk menghadapi PRU14 ini bersesuaian dengan senario politik masa kini.
Tegasnya, beliau yakin kesemua calon ini mampu menunaikan amanah mereka dengan sempurna sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Calon-calon yang dipilih ini adalah bukan calang-calang, malah mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat terutamanya mewakili BN.
“Jadi dalam mengambil kira pengalaman, kebolehan, kelayakan dan kepakaran masing-masing kita telah memutuskan bahawa 28 calon DUN dan enam calon Parlimen itu adalah yang terbaik untuk kita letakkan sebagai calon kita dalam PRU yang akan datang,” katanya.
Antara calon baharu yang disenaraikan ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Melaka, Datuk Zali Mat Yasin yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu dan Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Datuk Wong Nai Chee bagi Parlimen Alor Gajah.
Mengulas keputusan pucuk pimpinan mengekalkan Tan Sri Mohd Ali di Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Idris menjelaskan, mantan Ketua Menteri Melaka yang telah berkhidmat selama 13 tahun itu telah menunjukkan komitmen jitu dalam membantu rakyat di kawasan berkenaan meskipun bukan lagi memegang sebarang jawatan tertinggi.
Dalam pada itu jelasnya, keputusan pertukaran kerusi Datuk Seri Abu Bakar dari Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput untuk menentang calon pakatan pembangkang (PPBM), Mohd Rafiq Naizamohideen juga dianggap sebagai keputusan tepat dan ibarat “buku bertemu ruas”.
Berikut adalah senarai penuh calon BN Melaka bagi PRU14;
Parlimen:
P.134 Masjid Tanah - Datuk Mas Emieyati Samsuddin
P.135 Alor Gajah - Wong Nai Chee
P.136 Tangga Batu - Zali Mat Yasin
P.137 Hang Tuah Jaya - Tan Sri Mohd. Ali Rustam
P.138 Kota Melaka - Choo Wei Sern
P.139 Jasin - Datuk Seri Ahmad Hamzah
Dewan Undangan Negeri:
N1. Kuala Linggi - Datuk Ismail Othman (BN)
N2. Tanjung Bidara -Md. Rawi Mahmud
N3. Ayer Limau - Amirudin Yusop
N4. Lendu - Sulaiman Md. Ali
N5. Taboh Naning - Datuk Latipah Omar
N.6. Rembia - Datuk Norpipah Abdol
N.7. Gadek - P. PanirchelvamN.8. Machap Jaya - Datuk Koh Nai Kwong
N.9. Durian Tunggal - Datuk Ab. Wahab Ab. Latip
N.10 Asahan - Datuk Abdul Ghafaar Atan
N.11 Sungai Udang - Datuk Seri Idris Haron
N.12 Pantai Kundor - Nor Azman Hasan
N.13 Paya Rumput - Prof. Datuk Abu Bakar Mohamad Diah
N.14 Klebang - Datuk Lee Ban Hong
N.15 Pengkalan Batu - Chua Lian Chye
N.16 Ayer Keroh - Chua Kheng Hwa
N.17 Bukit Katil - Yunus Hitam
N.18 - Ayer Molek - Rahmad Mariman
N.19 Kesidang - Datuk Ng Choon Koon
N.20 Kota Laksamana - Melvin Chua Kew Wei
N.21 Duyong - Lee Kiat Lee
N.22 Banda Hilir - Lee Chong Leng
N.23 Telok Mas - Abdul Razak Abdul Rahman
N.24 Bemban - Koh Chin Han
N.25 Rim - Datuk Ghazale Mohamad
N.26 Serkam - Zaidi Attan
N.27 Merlimau - Roslan Ahmad
N.28 Sungai Rambai - Datuk Hasan ABDUL Rahman
#Barisan Nasional #idris haron #Ketua Menteri #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Mas Ermieyati #MCA #MIC #Parlimen #pemuda #Pemuda UMNO #pilihan raya #PRU #PRU14 #Puteri UMNO #UMNO
;