PRU14: Bergandingan dengan bapa, Mukhriz sifatkan pertandingan lebih meriah
Hilal Azmi
Mei 7, 2018 09:24 MYT
Mei 7, 2018 09:24 MYT
“Pilihan raya kali ini meriah sungguh!”
Itu ungkapan kebanyakan pemerhati politik, mahupun di peringkat akar umbi, berkaitan suasana demokrasi yang sedang hangat berlangsung ketika ini.
Malaysia ada sekitar kurang 45 jam sahaja lagi sebelum proses memilih kepimpinan yang bakal menerajui negara diadakan pada Rabu.
Ketika proses kempen masih sedang berlangsung, pertandingan membabitkan anak-beranak menarik perhatian ramai, terutama membabitkan calon perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mahathir bertanding kerusi Parlimen Langkawi sementara Mukhriz di Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.
“Saya tak nafi, dulu beliau (Dr Mahathir) tak benarkan saya untuk terbabit dalam politik.
"Selepas beliau bersara, saya pun menawarkan diri untuk masuk politik pada 2008.
"Dan Alhamdulillah, saya dah berjaya dua kali dan berharap menang lagi kali ni,” kata Mukhriz ketika ditemui Astro AWANI.
Biarpun sudah dua penggal berada dalam arena politik, Mukhriz menyifatkan ‘pertandingan’ kali ini, yang disertainya bersama bapanya, satu pengalaman luar biasa, malah terasa lebih meriah.
“Saya rasa seronok sebab tak pernah berlaku lagi sejak saya menceburi bidang politik. Rasa macam ada satu gelombang yang bermula dari Langkawi, dan dirasai di tanah besar Kedah.
“Bukan tu saja, aura Dr Mahathir turut dirasai di Perak, Pulau Pinang dan Perlis.. jadi macam, timbul semangat baru dalam kalangan pengundi,” katanya.
Malah, ketika ditanya mengenai pesanan bapanya untuk pilihan raya kali ini, Mukhriz menyifatkan ia pesanan biasa.
“Buat macam kita dok buat sebelum ni, iaitu mendekati rakyat, memahami apa isu-isu rakyat,” jelasnya ringkas.
Beliau pada masa sama menganggap pertembungan kali ini membuktikan demokrasi yang kian subur di Malaysia, terutamanya di Jerlun.
“Setakat ni tiada taktik-taktik yang kurang menyenangkan. Mungkin sebab bukan saja calon yang memang kita kenal, tetapi geng jentera juga kawan-kawan kita.
“Dulu pun kami sebahagian daripada mereka,” tambahnya.
#calon
#demokrasi
#Jerlun
#Kedah
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#MalaysiaMemilih
#Menteri Besar
#Mukhriz Mahathir
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU14