PRU14: Apa berlaku selepas diumumkan jadi calon

Hilal Azmi
April 25, 2018 15:23 MYT
Berdasarkan pengumuman calon setakat ini, Kedah bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di hampir semua kawasan kecuali di Langkawi. - Gambar fail
KEBANYAKAN parti politik telah bersedia mengumumkan calon yang bakal mewakili parti untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.
Di negeri Kedah, Pas menjadi yang pertama melengkapkan senarai calonnya dengan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (kecuali kerusi P004 Langkawi).
Pada masa sama, Pas menampilkan 70 peratus muka baru sebagai ‘penyegar bagi 'menghijaukan' Kedah.
Kemudian, ia diikuti dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengumumkan calonnya sehari selepas Pas dan Pakatan Harapan bakal melengkapkan senarai calonnya malam ini.
Barisan Nasional di negeri Kedah pula menampilkan 18 muka baru dengan lima srikandi UMNO sebagai calon mereka yang diumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam.
Jadi, apa yang mereka lakukan sekarang? Adakah mereka akan terus mula berkempen?
Lazimnya, dalam tempoh sekarang, kesemua calon kini sibuk menyiapkan dokumen yang diperlukan sebagai seorang calon, Yang Berhormat.
Ada banyak maklumat perlu diisi dan dipenuhi serta dokumen yang perlu dilampirkan.
Siapa pencadang, siapa penyokong, siapa wakil calon?
Ini soalan yang relevan: Kesemua calon juga perlu mengenal pasti siapa pencadang, siapa penyokong malah siapa wakil calon dan kesemua mereka ini perlulah sama ‘bersih’ seperti calon.
Antara syaratnya ialah tidak muflis dan mereka perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
Itu baru satu perkara, sebenarnya ada macam-macam perkara perlu diteliti bagi melengkapkan borang pencalonan sebelum seseorang itu boleh disahkan untuk bertanding.
Itu belum lagi kisah wang deposit yang perlu diselesaikan. Calon DUN nilainya RM5,000 manakala calon Parlimen, RM10,000.
Setakat ini di Kedah sahaja, sebanyak 117 borang pencalonan peringkat Parlimen telah dijual manakala di peringkat DUN, sebanyak 273 borang.
Bagi pengamal media, waktu ini antara yang paling sibuk untuk mendekati calon bagi membolehkan cerita dan aspirasi mereka dibawa kepada seramai mungkin media.
Biarpun watikah calon telah diberikan, setiap individu yang bertanding tidak akan disahkan sebagai calon pilihan raya selagi mereka tidak disahkan semasa hari Penamaan Calon pada Sabtu (April 28) ini.
Malah, masih ada strategi yang boleh digunakan pihak lawan bagi menidakkan status pencalonan terutamanya membabitkan pengisian borang dan dokumen yang tidak lengkap.
Beri semua calon masa untuk menyusun strategi sementara tempoh berkempen bermula.
Berdasarkan pengumuman calon setakat ini, Kedah bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di hampir semua kawasan kecuali di Langkawi.
Namun, segalanya mungkin berubah Sabtu ini ...
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Barisan Nasional #Facebook #Kedah #Langkawi #Malaysia #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #pilihan raya #PPBM
;