PRU: UMNO tiada masalah dengan agihan kerusi
Fauzi Suhaimi
Julai 25, 2020 18:57 MYT
Julai 25, 2020 18:57 MYT
UMNO tidak mempunyai sebarang masalah dalam soal agihan kerusi jika Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dira Abu Zahar berkata, sehingga hari ini proses rundingan antara semua rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) giat dilaksanakan meliputi semua aspek.
"Dalam aspek agihan kerusi bukan isu baharu malah ia sudah hangat diperkatakan sebelum ini dan semua parti dalam PN sudah bersetuju dalam apa juga pertimbangan.
"Dalam hal ini saya yakin dan percaya UMNO tidak mempunyai permasalahan besar dalam rundingan dan sekarang pun kita masih dalam fasa perundingan dengan semua pihak untuk mencapai kata sepakat secara menyeluruh," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dira berkata, jentera pilihan raya PN sudah bersedia dan segala gerak kerja ke arah tersebut giat dilaksanakan.
"Jentera dalam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas sudah lama kita gerakkan menerusi beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini dan perkara itu akan terus diperhebat bagi berdepan sebarang kemungkinan (yang akan) berlaku.
"Gerak kerja semua peringkat baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen juga telah berjalan khususnya dalam mengenal pasti pengundi termasuk di kawasan luar bandar," ujarnya.
Beliau menambah, fokus utama parti adalah dengan menilai serta melihat keperluan dan kemahuan rakyat disemua peringkat.
"Sebagai salah seorang Ahli Majlis Tertinggi parti yang muda, kita faham nasib rakyat yang perlu diberi perhatian.
"Sehubungan itu, fokus utama kami adalah dengan memastikan keperluan dan kemahuan rakyat akan dijadikan agenda utama demi kelangsungan parti," jelasnya lagi.
#agenda
#Ahli Majlis Tertinggi UMNO
#Astro Awani
#Dira Abu Zahar
#majlis tertinggi
#Muafakat Nasional
#Parlimen
#PAS
#Perikatan Nasional
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#PRU
#rakyat
#UMNO