PRU, PRN tidak sesuai dibuat ketika COVID-19 melanda - SPR

Bernama
Oktober 13, 2020 17:14 MYT
Abdul Ghani berkata SPR juga tidak akan menghantar petugasnya dari Semenanjung untuk membantu proses PRK Parlimen Batu Sapi. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Pilihan raya umum atau negeri tidak sesuai diadakan pada waktu ini, ketika pandemik COVID-19 melanda negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.
Beliau berkata bukan senang untuk menjaga keselamatan rakyat dalam keadaan wabak.
Abdul Ghani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dilaporkan akan diadakan dalam tempoh terdekat.
"Saya mohon ketika wabak sedang melanda, kalau boleh tidak ada pilihan raya (diadakan) waktu ini," katanya dalam sidang media selepas mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah, di sini hari ini.
SPR menetapkan PRK Batu Sapi pada 5 Disember, hari mengundi awal pada 1 Disember manakala penamaan calon pada 23 November.
Ditanya sama ada SPR akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mengisytiharkan darurat di Batu Sapi supaya PRK tidak diadakan, Abdul Ghani berkata darurat yang melibatkan keselamatan negara akan diisytiharkan kerajaan dan SPR akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat.
"SPR hanya boleh memberi pandangan kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah dalam mesyuarat yang dipengerusikan menteri-menteri kanan," katanya.
Sebelum ini, Abdul Ghani dilaporkan berkata PRK Batu Sapi perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut.
Berkongsi pengalamannya turun ke Sabah untuk meninjau proses PRN bulan lepas, Abdul Ghani berkata perhimpunan beramai-ramai adalah antara punca wabak COVID-19 senang merebak.
"Saya baru lepas kuarantin 14 hari. Saya dipanggil buat ujian kali kedua dan Alhamdulillah saya negatif. Kita kena terima hakikat pendekatan baharu terpaksa dibuat untuk membendung wabak ini sepenuhnya," katanya.
Abdul Ghani berkata SPR juga tidak akan menghantar petugasnya dari Semenanjung untuk membantu proses PRK Parlimen Batu Sapi nanti sebagai usaha meminimumkan risiko penularan.
Pelaksanaan PRK Batu Sapi akan dijalankan sepenuhnya oleh pegawai SPR dan sukarelawan yang bertugas di negeri berkenaan, jelas beliau.
PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.
-- BERNAMA
#PRK Batu Sapi #SPR #PRU #PRN #tidak sesuai #tangguh #Politik Malaysia #Abdul Ghani Salleh #perhimpunan #pilihan raya kecil #pilihan raya umum
;