PRU musim banjir: Rara kesal kenyataan Ahmad Zahid

Sinar Harian
September 20, 2022 08:15 MYT
YOUNG SYEFURA: Zahid Hamidi perlu malu dengan diri sendiri dan muhasabah; jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana. - Gambar fail
BENTONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal dengan dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa pada Sabtu.
Young Syefura berkata, ia menunjukkan betapa kemaruknya Ahmad Zahid dan BN terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.
"Mana perikemanusiaan beliau (Ahmad Zahid) ketika mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan.
"Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat bencana banjir. Amat kejam apabila seorang presiden parti dan juga ahli Parlimen yang sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya.
BACA: PRU15: Kenyataan Ahmad Zahid disalah tafsir - Annuar
BACA: Tun Mahathir juga pernah buat PRU bulan November - Ahmad Zahid
BACA: PRU15 semasa banjir, Ahmad Zahid pentingkan diri - Charles Santiago
Beliau yang juga mesra dengan panggilan Rara berkata, masih ada lagi infrastruktur tidak dibaik pulih akibat bencana banjir yang melanda pada Disember tahun lalu.
Tambah Young Syefura, bahkan ada penduduk yang masih belum mampu hidup seperti dahulu lagi.
"Zahid Hamidi perlu malu dengan diri sendiri dan muhasabah. Jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana.
"Sepatutnya beliau perlu mendesak menteri-menteri BN untuk membuat persiapan rapi menghadapi banjir agar rakyat tidak terkesan dengan lebih teruk seperti tahun lepas," kata beliau. - Sinar Harian
#Young Syefura Othman #Ahmad Zahid Hamidi #PRU musim banjir #PRU15
;