PRU ke-14 masa terbaik Gerakan rampas semula Pulau Pinang - TPM

Wan Syamsul Amly
November 12, 2017 13:33 MYT
Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-46 di Menara PGRM hari ini. - Foto Bernama
Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) merupakan masa yang terbaik untuk Gerakan merampas semula Pulau Pinang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tidak mustahil selepas beberapa bencana alam sekitar yang berpunca daripada kedegilan kerajaan negeri itu.
Jelasnya, kekalahan Gerakan di negeri itu bersifat sementara sahaja.
"Kita akan rampas kembali Pulau Pinang. Tidak mustahil perkara ini boleh berlaku. Tuhan sudah menurunkan bala kepada mereka yang mendabik dada.
"Apa yang berlaku inilah ketika yang terbaik untuk kita ambil alih semula kerajaan Pulau Pinang ," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-46 di sini hari ini.
Sebelum ini, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Dalam pada itu kata Ahmad Zahid meminta Gerakan memperkasakan jentera pilihan raya dan bersedia untuk menghadapi PRU14.
Sementara itu, Presiden Parti, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam ucapannya memberitahu, persidangan kali ini amat penting terutama dalam mencari kesepakatan ahli dan mengukuhkan parti untuk memastikan kejayaan besar BN dalam PRU14 nanti.
Jelasnya, parti itu juga sudah berbincang dengan kepimpinan parti komponen BN terutama membabitkan tuntutan bertindih kawasan ditandingi, sejak tahun lalu.
"Rundingan itu positif dan berjalan dalam suasana harmoni sejajar perpaduan keluarga BN.
"Paling penting kita merupakan komponen BN pertama yang telah mengenal pasti bakal calon sejak dua tahun lalu dan melantik mereka sebagai penyelaras.
"Gerakan juga sudah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi tanpa mengira politik dalaman parti kerana kemenangan adalah yang paling penting sekali," katanya.
Jelasnya, mereka juga telah menerima pakai proses penyasaran mikro di kawasan pilihan raya malah mengadakan jangkauan besar-besaran pengundi di 12 kerusi Parlimen dan 33 kawasan DUN masing-masing.
"Kita juga telah mengenal pasti manifesto setempat yang khusus untuk setiap kerusi kerana dan mengenal pasti kehendak pengundi masing-masing," ujarnya.
Sebelum ini Majlis Tertinggi dan perlembagaan parti itu meluluskan pertambahan 50 lagi ahli seumur hidup, sekali gus menyaksikan jumlah ahli seumur hidup bertambah kepada 253 orang.
#Barisan Nasional #mah siew keong #pilihan raya #politik #Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;