PRS sahkan tampil muka baharu, calon wanita dalam PRU15
Nuzuluddin Abdul Razak
April 25, 2022 10:45 MYT
April 25, 2022 10:45 MYT
SIBU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menampilkan muka baharu dan calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.
PRU15 di Sarawak bakal menyaksikan enam kerusi Parlimen menjadi medan pertahanan dan pertempuran PRS iaitu di kawasan Parlimen Kanowit, Lubok Antu, Selangau, Hulu Rajang, Julau dan Sri Aman.
Perkara ini disahkan oleh Presidennya, Datuk Joseph Salang Gandum selepas Majlis Makan Malam Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan ke-5 Badan Induk PRS di Kingwood Hotel pada Ahad.
“Memang hasrat kita untuk mencalonkan wakil yang boleh memenangi kerusi tersebut ini adalah termasuk golongan wanita begitu juga kita tidak melupakan muka muka baharu,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya PRS akan turut mempertimbangkan pandangan pengundi sebelum seseorang wakil itu dicalonkan bagi meraikan hak mereka sebagai rakyat selain menjamin sokongan yang tidak berbelah bagi.
“Tetapi sekiranya didapati pengundi di sesuatu kawasan mahukan muka lama juga maka kita harus memikirkan bagaimana, kalau kita tidak letakkan calon muka lama adakah ini akan menjejaskan prestasi kita dalam PRU15.
“Ini keputusan ini mesti kita mesti timbang dan fikirkan sewajarnya begitu juga dengan kematangan dan kepintaran dari segi pimpinan GPS, kita akan boleh menentukan sesiapa yang boleh dicalonkan yang sebenarnya boleh memenangi kerusi berkenaan,” katanya.
Pada PRU14 yang lalu PRS tewas di kerusi Parlimen Julau, Lubok Antu dan Selangau sementara pada tahun 2019 parti itu kehilangan kerusi di Parlimen Sri Aman selepas Datuk Masir Kujat melompat parti menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
PRS kini hanya mempunyai dua calon di kerusi Parlimen Hulu Rajang melalui Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Kanowit melalui Datuk Aaron Ago Dagang.