Proses semak imbang dijamin Perlembagaan terus dinodai dengan rakus - Anwar Ibrahim

Faris Danial Razi
April 26, 2021 22:23 MYT
Anwar berkata, demokrasi mesti ditegakkan walaupun negara berhadapan masalah, justeru suara rakyat tidak boleh dipadam oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin dan menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai sidang Parlimen, menampakkan ketidakarifan beliau terhadap prinsip asas demokrasi.
“Menteri tersebut menyatakan kerajaan PN sedang memberi ‘keutamaan’ penuh pada usaha mengekang penularan wabak dan akan terus menutup Parlimen.
“Kononnya dengan penutupan Parlimen sangat penting dalam usaha melawan wabak, tetapi keadaan makin parah.
“Kedudukan dan maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat sama sekali, dan ini jelas menunjukkan bahawa aspek semak imbang yang dijamin Perlembagaan ini terus dinodai dengan rakus,” dakwa Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan media pada Isnin.
BACA: Penahanan aktivis tekan kebebasan bersuara, ekspresi - Anwar Ibrahim
Ujar Presiden PKR itu lagi, demokrasi mesti ditegakkan walaupun negara berhadapan masalah, justeru suara rakyat tidak boleh dipadam oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin dan menteri.
“Kenyataan bijaksana YDPA (Yang di-Pertuan Agong) bertarikh 26 Februari yang lalu bahawa kuasa darurat yang diperuntukkan pada kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak sesi Parlimen.
“Kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan darurat setakat ini tidak memberi dampak yang positif dalam usaha kita melawan wabak.
“Sebaliknya, ianya digunakan untuk membungkam wartawan dan media, serta memberi kuasa pada kerajaan ini untuk menggunakan dana awam tanpa hormat pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pada Parlimen,” tambahnya.
BACA: RM3 bilion dana KWAN bagi perolehan vaksin, RM2 bilion untuk pelaksanaan PICK- Khairy
BACA: Dana KWAN boleh digunakan, elak defisit meningkat - Menteri Kewangan
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberi contoh penggunaan hampir 50 peratus dana dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk pemerolehan vaksin.
“Terdapat banyak hujah yang menampakkan pemerintah hari ini sedang meminjam dan berbelanja tanpa semak imbang.
“Ini menjadi sebab ampuh mengapa Parlimen sebagai fungsi dan institusi yang dijamin Perlembagaan mesti diberi ruang untuk menjalankan amanah rakyat.
“Kita tidak nampak sebarang tanda bahawa darurat ini akan tamat dalam masa terdekat. Dengan peningkatan kes penularan COVID-19 hari ini ianya akan memberi alasan kepada kerajaan PN untuk melanjutkan tempoh darurat melepasi bulan Ogos 2021.
“Saya yakin inilah matlamat sebenar pemerintah; memperpanjang tempoh darurat selama mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi,” tambah beliau.
BACA: Ordinan Darurat: Parlimen akan bersidang bila tiba masa yang sesuai - Takiyuddin
Sebelum ini, Takiyuddin memberi jaminan sidang Parlimen akan segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan.
Katanya, tindakan itu bergantung pada nasihat dan pandangan pakar daripada semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan negara (MKN).
#Anwar Ibrahim #Takiyuddin Hassan #PKR #Perdana Menteri #Kementerian Kesihatan #Majlis Keselamatan Negara #COVID-19 #vaksin #undang-undang #pembangkang #keselamatan #rakyat #kesihatan #kerajaan #Parlimen
;