KULAI: MCA akan melaksanakan proses rejuvenasi parti yang akan diterajui sayap Pemuda dan Wanita parti itu bermula di Johor dengan menyasarkan seramai 4,000 keahlian baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu penting susulan pelaksanaan Undi18 yang menyaksikan setiap individu secara automatik didaftarkan sebagai pengundi berbanding dahulu yang memerlukan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita mempunyai struktur parti yang cukup baik kerana MCA kini ada dua Ahli Parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Enam daripadanya (dua Parlimen dan empat ADUN) datang dari Johor, jadi Johor perlu jadi perintis dalam mengepalai gerakan meremajakan parti supaya kita dapat lakukan sesuatu yang jauh lebih baik pada masa depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor 2023, di sini, hari ini.

Wee. yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata gerak kerja untuk mencari seramai 4,000 ahli baharu di Johor itu akan dilakukan serta merta sebelum usaha itu dilaksanakan di negeri lain secara berperingkat.

"Walaupun kita sedar jumlah keahlian yang besar bukan faktor utama memberikan kemenangan dalam sesuatu pilihan raya, namun ia amat penting dalam usaha meremajakan parti, suka atau tidak kita perlu tambah keahlian dengan segera," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pengangkutan itu, berkata MCA akan kekal komited bersama Barisan Nasional (BN) dan terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ahlinya tidak berada dalam Kabinet kerajaan.

"MCA ada falsafah sendiri, tidak kira sekiranya kawan kita (UMNO) ada sahabat lain (Pakatan Harapan), tidak mengapa, sebaliknya hubungan itu perlu dibuktikan melalui tempoh masa.

"Kita (BN) sudah lama, sudah 70 tahun bersama, jadi saya yakin ada nilai baik antara kita dan bukan bersandarkan kepada kepentingan jangka masa pendek sahaja," katanya.

-- BERNAMA