Proses penamaan calon PRK Semenyih berlangsung pagi ini
Astro Awani
Februari 15, 2019 05:30 MYT
Februari 15, 2019 05:30 MYT
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dijadual bermula pada pukul 9 pagi ini.
Ia bakal berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 13 kertas pencalonan setakat Jumaat dibeli.
Ias merangkumi tiga oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) lima dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang. Turut dijual empat lagi borang pencalonan untuk calon Bebas.
PH yang dalam misi mempertahan kerusi Semenyih menamakan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi, 58.
PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon manakala Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai 'Uncle Kentang', turut menyatakan kesediaan bertanding.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Mohd Sayuthi Bakar bertindak selaku Pegawai Pengurus PRK berkenaan yang dijadual berlangsung pada 2 Mac.
Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi sekali gus mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM). Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.
#Barisan Nasional
#Mahathir Mohamad
#Nik Aziz
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#PPBM
#PRU14
#Semenyih
#Suruhanjaya Pilihan Raya