Proses penamaan calon Parlimen Kuantan ambil masa lama

Astro Awani
April 28, 2018 18:48 MYT
Calon-calaon Pakatan Harapan yang bertanding di Parlmen Kuantan dan Dun Teruntum, Tanjung Lupur dan Inderapura. - Gambar Astro AWANI
Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen P083 Kuantan, disifatkan paling lama untuk diselesaikan selepas proses yang bermula jam 9 pagi tadi hanya diumumkan pada jam 1.08 petang.
Selesai proses penamaan calon, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (P, Barisan Nasional dan PAS bagi kerusi Parlimen Kuantan serta kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Teruntum (N14), Tanjung Lumpur (N15) dan Inderapura (N16).
Calon P083, Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, proses penamaan calon bagi pilihanraya kali ini disifatkan paling panjang pernah dilalui beliau sehingga meresahkan penyokong yang berada di luar Pusat Penamaan Calon di Bangunan Majlis Perbandaran Kuantan, MPK di sini.
“Setiap kali saya menyuarakan isu kelewatan proses penamaan calon Parlimen Kuantan pagi ini, pegawai bertugas hanya berkata mereka sedang menanti kelulusan pihak SPR.
"Saya telah melaporkan perkara ini kepada petugas pemantau pilihan raya dan bersyukur kerana penyokong terlibat kekal tenang sepanjang proses tersebut,” katanya.
Fuziah mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan untuk penggal ketiga mula berhimpun bersama 300 penyokong Pakatan Harapan seawal jam 7.30 pagi di Taman Esplanade dan mula berarak ke Pusat Penamaan Calon sekitar jam 8.31 pagi.
Perarakan yang dikawal dengan baik oleh pihak polis tiba di perkarangan bangunan MPK sekitar jam 8.41 pagi dan tepat jam 9 pagi, calon bersama wakil-wakil mereka masuk untuk proses penamaan calon PRU ke-14 Parlimen Kuantan.
Penyokong dan jentera PKR, BN dan Pas berhimpun di perkarangan bangunan MPK bagi menyemarakkan lagi PRU14 yang disifatkan paling menarik untuk diperhatikan berikutan berlakunya pertandingan tiga penjuru di hampir semua kerusi yang dipertandingkan.
Tiada sebarang provokasi berlaku melibatkan penyokong parti bertanding walaupun mereka berhimpun di bawah cuaca panas dan bersurai selepas pengumuman rasmi dibuat oleh SPR.
Fuziah bakal menentang calon BN, Datuk Andrew Wong Kean Hwee dan Pas, Sulaiman Mat Derus. Manakala, bagi DUN Teruntum, Tee Choon Ser (BN) dan calon Pas, Azizah Mohd Ali mencabar penyandang, Sim Chon Siang (PKR).
Kerusi N15, Tanjung Lumpur menyaksikan pertandingan melibatkan calon PKR, Sabrina Md Yusoff, Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad (BN) dan calon Pas, Rosli Abdul Jabar.
Pertandingan tiga penjuru bagi N16 Inderapura pula melibatkan Wan Maseri Wan Mohd (Pas), calon PKR, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN).
Penamaan calon PRU ke-14 hari ini melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.
Proses pengundian bakal berlangsung 9 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 11 hari.
#Andrew Wong Kean Hwee #Barisan Nasional #Fuziah Salleh #Gagasan Sejahtera #Kuantan #Malaysia #MalaysiaMemilih #Pahang #Pakatan Harapan #PRU14 #Sulaiman Mat Derus
;