Proklamasi Melayu bukan bertujuan pancing undi menjelang PRN - Tuan Ibrahim

Adie Sufian Zulkefli
Mei 6, 2023 18:00 MYT
Menurut Tuan Ibrahim rancangan untuk melancarkan Proklamasi Melayu sudah dirangka sejak awal tahun dan dijangka dilancarkan pada Mac lalu, namun berdepan kekangan apabila terdapat cubaan untuk menghalang pelaksanaannya. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Proklamasi Melayu yang ditandatangani menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan bertujuan memancing undi kaum Melayu seperti didakwa sesetengah pihak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan proklamasi itu bermatlamat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya beliau berkata rancangan untuk melancarkan Proklamasi Melayu sudah dirangka sejak awal tahun dan dijangka dilancarkan pada Mac lalu, namun berdepan kekangan apabila terdapat cubaan untuk menghalang pelaksanaannya.
"Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.
"Oleh kerana ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.
Semalam media melaporkan pimpinan kanan DAP mendakwa, Proklamasi Melayu yang dicetuskan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bermatlamat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, menyifatkan proklamasi itu hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu, bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan orang Melayu.
Katanya, proklamasi 12 perkara itu bertujuan menyelamatkan orang Melayu itu amat ironi, kerana ia dicetuskan dan disokong pemimpin yang telah mengecewakan orang Melayu sebelum ini.
Proklamasi itu yang ditandatangani beberapa pemimpin Pas baru-baru ini, mengandungi 12 perkara untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini dan menggesa perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi tujuan itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Proklamasi Melayu juga tidak membabitkan isu parti politik sebaliknya di luar daripada kerangka politik.
Mengulas mengenai usaha pihak tertentu yang cuba menghalang daripada proklamasi dilancarkan, Tuan Ibrahim menjelaskan disebabkan itu ia diadakan dalam bentuk petisyen dan dipromosi menerusi laman sosial.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, bagaimanapun parti itu terbuka kepada sebarang kemungkinan selagi ia berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan proses demokrasi.
"Pas juga tidak akan bertindak di luar batas perundangan bagi mencapai matlamat menerajui negara. Selagi pergerakan itu dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah dari aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu," katanya lagi.
#proklamasi melayu #Tuan Ibrahim Tuan Man #PAS #Tun Mahathir
;