Proklamasi Darurat: Khairuddin kemuka saman pemula kepada Muhyiddin, Kerajaan Malaysia

Fauzi Suhaimi
Januari 18, 2021 17:24 MYT
Khairuddin berkata, pengisytiharan itu tidak wajar sama sekali lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia berhubung Proklamasi Darurat.
Beliau berkata, tindakan saman pemula itu dibuat mengambil kira kedudukan seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapat perkenan pengisytiharan darurat.
Tegasnya, perkara itu tidak wajar sama sekali lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.
Bagaimanapun, jelas beliau, saman berkenaan tiada kena-mengena dengan Yang di-Pertuan Agong, kerana sebagai rakyat Malaysia beliau senantiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan berpaut erat pada prinsip ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.
"Saya telah mengarahkan peguam saya Muhammad Rafique dari Tetuan Law Practice of Rafique untuk memfailkan ‘saman pemula’ adalah berteraskan kepada prinsip memegang erat kepada kedaulatan undang-undang.
"Niat utama saya dalam memfailkan ‘saman pemula’ ini adalah untuk meminta pandangan daripada badan kehakiman mengenai kedudukan seorang Perdana Menteri yang telah hilang sokongan majoriti sama ada mempunyai ‘locus standi’ untuk menasihati Baginda bagi Proklamasi Darurat di negara kita," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata, tindakan pengisytiharan darurat bercanggah dan bertentangan dengan sistem politik yang berteraskan kepada amalan demokrasi.
"Tindakan melulu Muhyiddin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan harus dicabar serta diserahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan mengenainya.
"Kita harus elakkan ‘bad precedent’ seperti ini daripada diamalkan dalam sistem politik yang berdasarkan kepada amalan demokrasi tulen.
"Secara sejujurnya, saya sama sekali tidak mempertikaikan sebarang bentuk kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong seperti mana termaktub dalam Perlembagaan negara kita.
"Pertikaian dan persoalan saya adalah mengenai seorang Perdana Menteri yang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dari ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah ‘salah nasihat’ Baginda," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menambah, perbuatan berkenaan juga jelas bercanggah dan tidak menghormati keluhuran undang-undang secara sah.
"Sehubungan itu, kita harus serahkan kepada bidang kehakiman yang bijaksana untuk membuat keputusan secara sahih.
"Jangan sama sekali kita biarkan undang-undang negara dipersendakan oleh ahli-ahli politik yang tidak berprinsip serta tidak bermoral," tegasnya lagi.
#Muhyiddin Yassin #Khairuddin Abu Hassan #Dewan Rakyat #Yang di-Pertuan Agong #undang-undang #saman #rakyat Malaysia #mahkamah #Proklamasi Darurat #COVID-19 #saman pemula
;