Proklamasi Darurat: Kerajaan digesa batal gantung Parlimen, DUN - Guan Eng
Fauzi Suhaimi
Januari 13, 2021 17:54 MYT
Januari 13, 2021 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membatalkan tindakan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Ahli Parlimen membangkitkan kelemahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, cabang legislatif diperlukan agar wakil rakyat dapat membawa isu berkaitan salah pengurusan, salah guna kuasa dan kesukaran rakyat dalam sidang Parlimen.
"Atas sebab ini, penggantungan Parlimen dan DUN harus dibatalkan bagi membenarkan para Ahli Parlimen membangkitkan dan mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menawarkan langkah-langkah kewangan segera yang disertakan bersama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.
"Sekiranya cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan dapat berfungsi dengan normal, mengapa tidak cabang perundangan (legislatif) yang merupakan peringkat tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan?" soalnya menerusi ciapan di akaun Twitternya pada Rabu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pengumuman Khas Darurat pada Selasa berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, Parlimen dan DUN tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Setakat ini, belum ada Ordinan Darurat yang dikeluarkan untuk menggantung Parlimen meskipun Istana Negara tidak menjelaskan secara terperinci mengenai penggantungan berkenaan.
PRU, PRN dan PRK tidak akan diadakan dalam tempoh darurat
Dewan Rakyat sepatutnya bersidang tiga kali tahun ini iaitu pada 8 Mac hingga 8 April, 14 Jun hingga 1 Julai, dan 4 Oktober hingga 8 Disember.
INFOGRAFIK] Pengumuman Khas Darurat
"Bagaimana kegagalan menteri dalam menjalankan tugas mereka dengan baik dapat diserlahkan?" soal beliau lagi.
#Muhyiddin Yassin
#Lim Guan Eng
#DAP
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#gantung parlimen
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#darurat
#COVID-19