Proklamasi darurat bukan untuk Muhyiddin beraja di mata, bukan sehingga kiamat - Bekas setiausaha politik Tun M

Hasimi Muhamad
Januari 17, 2021 10:55 MYT
Al-Sultan Abdullah pada Selasa memperkenankan permohonan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos 2021. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat oleh kerajaan bukan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlalu mengikut nafsu atau kehendak sendiri, demikian kata, Senator Muhammad Zahid Md Arip.
Sebaliknya bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad itu menambah, proklamasi yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong itu akan berakhir juga apabila sampai masanya nanti.
Justeru, tegas Muhammad Zahid, mana-mana individu yang cemburu terhadap usaha Perdana Menteri menangani pandemik COVID-19 disifatkan sebagai sentiasa ‘buta dan pekak’.
"Proklamasi darurat bukan untuk Tan Sri (Muhyiddin Yassin) beraja di mata, bersultan di hati - proklamasi ini ada tempohnya bukan sehingga kiamat.
“Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat dari kerajaan berkenan supaya proklamasi darurat ini dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
BACA: Muhyiddin belum tunjuk kemampuan teraju negara - Tun M
BACA: Tidak perlu darurat, kerajaan mempunyai kuasa bendung COVID-19 - Tun Mahathir
BACA: Dr Mahathir dakwa Muhyiddin Yassin diktator
Beliau berkata demikian sebagai memberi respons kepada kenyataan Dr Mahathir, mengatakan Muhyiddin masih belum menunjukkan kemampuan untuk menangani masalah negara biarpun selepas pengisytiharan darurat.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, proklamasi darurat yang diisytiharkan itu memberikan kuasa yang besar kepada Perdana menteri, selain menghentikan politiking.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata sepanjang tempoh pentadbiran, Perdana Menteri telah berjaya memperlihatkan keupayaan beliau menerajui kepimpinan negara ketika pendemik COVID-19.
“Ketika ekonomi di seluruh dunia merudum, bantuan kepada rakyat dari pelbagai kelompok tidak pernah di abaikan.
“Beliau meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaannya di kala musuh politiknya begitu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpinnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu, Badrolhisham Mohamed @ Shafie berkata rakyat sedar bahawa pengistiharan darurat oleh kerajaan adalah kesan kedegilan pimpinan politik pembangkang yang tidak akur kepada titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menghentikan "politiking".
“Ketidakstabilan politik negara yang dicetuskan oleh pimpinan parti politik dari parti pembangkang dan sebahagian pimpinan parti dari Barisan Nasional (BN) secara berterusan telah menghalang Perdana Menteri untuk memberi tumpuan penuh kepada penyelesaian COVID-19.
“Usaha Tun (Dr Mahathir) dan rakan-rakan yang tidak menyokong Belanjawan 2021, telah dilihat oleh rakyat sebagai cubaan untuk menyekat usaha kerajaan mengatasi masalah COVID-19 dan ekonomi negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata adalah lebih baik sekiranya semua pimpinan parti bersama menumpukan usaha menyelamat kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.
“Ketepikan segala ego, seolah-oleh tiada seorang pun terlebih baik dari "diri kita",” ujar beliau.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah pada Selasa memperkenankan permohonan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos 2021.
BACA: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos
Pengisytiharan itu menyebabkan semua persidangan Parlimen dan DUN digantung hingga Ogos.
#Muhyiddin Yassin #Mahathir Mohamad #Yang di-Pertuan Agong #Belanjawan 2021 #COVID-19 #Parlimen #Barisan Nasional #darurat
;