Projek pembangunan di Sarawak bukanlah sekadar 'janji pilihan raya' - Fadillah

Tan Su Lin
April 29, 2016 07:14 MYT
Pembinaan jalan raya untuk kemudahan rakyat di kawasan Kanowit dan Kapit yang menelan kos hampir RM800 juta itu dijangka siap Jun 2017. - Gambar fail
Projek pembangunan di Sarawak tidak seharusnya hanya diliihat sebagai 'janji pilihan raya' semata-mata.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata biarpun kadang kala ia mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan, namun janji kerajaan tetap ditunaikan demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya ini kerana mana-mana pembangunan infrastruktur perlu mengambil kira proses kajian dan perancangan terlebih dahulu di mana ia mungkin mengambil masa.
"Apabila Barisan Nasional (BN) janji, banyak yang sudah ditunaikan. Contohnya, Lebuhraya Pan Borneo dijanjikan dalam tahun 2013, sekarang ia dilaksanakan. Jalan menghubungkan Kapit dan Kanowit juga dijanjikan dan sekarang sedang dilaksanakan.
"Terdapat banyak bukti dan sudah pasti kalau kita janji bukan bermakna hari ini kita janji, esok akan siap. Untuk melaksanakan projek banyak perkara yang perlu diambil kira," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Pameran TVET di Dewan Sekolah, SMK Sacred Heart, di sini pada Jumaat.
Ditanya mengenai projek pembinaan jalan bagi menghubungkan Kapit dan Kanowit yang didakwa telah dijanjikan kepada penduduk lebih 30 tahun dahulu, katanya, apa yang penting sekarang bahawa projek itu telahpun diluluskan dan kini sedang berjalan.
"Memanglah janji itu sejak dulu tetapi sekarang ia sedang dalam proses pembinaan. Sebabnya bukan mudah, semua orang bersaing untuk dana dan perlu melakukan kajian dan sebagainya. Namun anda boleh lihat projek itu sedang berjalan, biarpun perlahan tetapi lancar. Nampak ada perkembangan," katanya.
Pembinaan jalan raya untuk kemudahan rakyat di kawasan Kanowit dan Kapit yang menelan kos hampir RM800 juta itu dijangka siap Jun 2017.
#Fadillah Yusof #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #Suruhanjaya Pilihan Raya
;