Projek KXP: Hasrat saya untuk jumpa PM Anwar tidak pernah padam- Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Mac 15, 2023 18:14 MYT
Sanusi memaklumkan bahawa langkah seterusnya yang akan dilakukan kerajaan negeri adalah meminta Kementerian Pengangkutan untuk memberi kelulusan kepada projek pembangunan KXP. - Fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa hasratnya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bagi memberikan penerangan secukupnya berhubung pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak pernah padam.
Menurutnya, ruang pertemuan itu amat penting memandangkan Kerajaan Pusat perlu diberikan taklimat secara terperinci berhubung segala apa yang diusahakan kerajaan Negeri Kedah.
Tambah beliau, ketika ini pihak kerajaan negeri hanya menunggu tarikh daripada pihak Perdana Menteri bagi tujuan berkenaan.
"Hasrat kita (di pihak kerajaan negeri untuk berjumpa PM terangkan mengenai KXP) tidak pernah padam, tidak pernah luput kerana itu cara (yang sebenar).
"(Dua) Perdana Menteri sebelum ini, semua saya jumpa, saya bawa 'consultant' saya (untuk) present, mereka setuju dan semua proses itu berlangsung.
"Apa yang saya bimbang apabila ada polisi baharu, dasar baharu (oleh PM Anwar), (ataupun) dia tidak mesra kepada projek itu, jadi saya hendak buat taklimat supaya dia faham apakah yang kita sedang usahakan," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas Sesi Hari Terakhir, Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan tumpuan kepada projek ini terutama dari sudut pembangunan ekonomi dan bukannya hanya mengikut perbezaan politik semata-mata.
"Saya harap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian, kalau saya tidak diberi perhatian, kononnya berlainan parti, tidak sama warna dengannya, tetapi Tuanku Sultan tidak bercakap atas parti tetapi atas kepentingan negeri ini.
"(Bahkan terbaharu) saya tidak dimaklumkan (tentang kehadiran Perdana Menteri ke Kedah bagi menghadap Sultan Kedah), saya (hanya) tahu kehadiran Perdana Menteri ke Kedah daripada Facebook Polis DiRaja Malaysia," tambahnya.
Sementara itu, Sanusi memaklumkan bahawa langkah seterusnya yang akan dilakukan kerajaan negeri adalah meminta Kementerian Pengangkutan untuk memberi kelulusan kepada projek pembangunan KXP.
Ia bagi membolehkan pihaknya menyegerakan urusan pengambilalihan tanah seperti yang termaktub dalam perundangan.
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim #Muhammad Sanusi Md Nor #Anwar Ibrahim #KXP
;