Program UMNO Bantu Rakyat dilancar, jelajah 71 lokasi
Israr Khalid
Mei 19, 2017 00:40 MYT
Mei 19, 2017 00:40 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program UMNO Bantu Rakyat yang akan menjelajah ke 71 lokasi seluruh negara.
Ia mensasarkan lebih 300,000 rakyat khususnya luar bandar dan pedalaman untuk menerima manfaat daripada program kali kedua anjuran Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) itu.
Kata Perdana Menteri, ia sebagai satu usaha UMNO memastikan kesinambungan 71 tahun UMNO membela nasib rakyat rakyat hingga ke peringkat akar umbi diteruskan.
“Kita bantu, kita bagi sumbangan, insya Allah mereka akan tahu. Pembangkang cakap banyak, tabur fitnah banyak tapi buat tak boleh, tak ada agenda, tak ada jasa, tak ada budi.
“Tapi UMNO banyak jasa, banyak budi. Sebab itu Allah bagi kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas di sini.
Turut hadir, Pengerusi BIKUM yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Samsul Annuar Nasarah, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.
Bagi fasa pertama, konvoi yang digerakkan 150 sukarelawan membabitkan 35 buah kenderaan pacuan empat roda akan menjelajah ke 21 lokasi dalam tempoh 12 hari, sebelum meneruskan fasa kedua ke 50 lokasi.
Antara bantuan yang akan disumbangkan adalah barangan keperluan harian dan 300 hamper khas pada setiap lokasi yang dikunjungi.
Selain itu, turut akan disumbangkan ialah dana khas untuk membuka Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 100 pelajar Tahun Satu, sementara 100 pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam pula akan menerima sumbangan untuk membuka akaun Tabung Haji.