Pro98 Reformis Pulau Pinang mahu Anwar selesai masalah dalaman PKR, tuntut Hanif Khatri letak jawatan
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 12, 2019 14:27 MYT
Disember 12, 2019 14:27 MYT
Pro98 Reformis Pulau Pinang hari ini menggesa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar menangani masalah perbalahan dalaman parti itu dengan bijaksana dan berhemah demi masa depan parti itu.
Pengerusinya, Datuk Maktar Shapee berkata umum mengetahui PKR dihormati kerana prinsipnya mengutamakan nilai akhlak, berintegriti dan disiplin.
Namun dengan insiden yang berlaku pada Kongres Nasional Parti di MITC, majlis MPP katanya harus bertindak terhadap anggota yang tidak berdisiplin melalui Lembaga Disiplin Parti Peringkat Pusat dan Negeri.
Langkah itu katanya dapat menyedarkan kembali anggota supaya sentiasa seiring dengan aspirasi parti.
“Pro98 Reformasi Pulau Pinang mohon kebijaksana Datuk Presiden dan MPP agar dapat menangani masalah dalaman parti yang timbul seperti menarik rambut dalam tepung rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
“Kami juga menyokong ketegasan Datuk Seri Presiden terhadap salah laku dan penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah terhadap pimpinan parti negara,” katanya pada sidang media bersama sekumpulan ahli Pro98 Reformis Pulau Pinang di Yayasan Aman, Penanti pada Khamis.
Maktar turut meminta anggota parti supaya bersama membentuk satu pasukan yang bersatu padu bagi nmembantu pucuk pimpinan Pusat.
Beliau juga menegaskan bahawa Pro98 Reformis memberi sokongan penuh kepada transisi kuasa Perdana Menteri ke-lapan dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ketika ini negara amat memerlukan kepemimpinan yang berani dan berjiwa rakyat serta sanggup mengharungi saat-saat derita bersama mereka.
Justeru katanya,amat tepatlah gesaan Presiden supaya semua Menteri, Menteri Besar dan Exco turun padang melihat keperluan rakyat terutama golongan miskin mendahului kepentingan peribadi mahupun parti.
Sementara itu, Setiausaha Pro98 Reformis negeri, Amir Ghazali menggesa Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Mohamed Hanif Khatri Abdulla meletak jawatan sebagai pengerusi PERDA kerana mewakili Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya dicabul
.
Katanya, sebagai seorang yang profesional seharusnya beliau memahami tugasan dan tanggungjawab selaku Pengerusi PERDA yang perlu mengembalikan imej serta kredibiliti agensi itu yang terpalit dengan pelbagai isu dan skandal ketika zaman Barisan Nasional (BN).
“Penglibatan beliau memberi tanggapan buruk masyarakat terhadap Tun Mahathir malah Pakatan Harapan membina persepsi buruk terhadap Tun atau dirancang oleh beliau. Oleh demikian, Pro98 menuntut dihentikan segera. Seeloknya beliau letak jawatan,’ kata Amir.
Pada Sabtu, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul memohon supaya polis menyiasat dakwaannya dan dalam laporan sama beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya dicabul diwakili Mohamed Haniff.
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasional
#Kongres Nasional Parti
#letak jawatan
#Mahathir Mohamad
#Majlis Pimpinan Pusat
#Maktar Shapee
#Mohamed Hanif Khatri Abdulla
#muhammed yusoff rawther
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#PKR