PRN: Wujudkan daya huni yang tinggi, Reezal tekad terus rancakkan ekonomi Bertam
Hilmi Malik
Ogos 8, 2023 15:02 MYT
Ogos 8, 2023 15:02 MYT
BERTAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican akan memastikan kawasan itu mempunyai daya huni yang tinggi melibatkan semua peringkat golongan.
Pelaksanaan itu penting katanya bagi mewududkan keseimbangan selain usaha untuk merancakkan ekonomi setempat.
Beliau yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PR15) ketika bertanding di parlimen Kepala Batas itu berkata, pertembungan di peringkat DUN kali ini adalah penting baginya untuk meneruskan semula segala perancangan.
“Usaha itu akan mencipta satu ekosistem yang membolehkan ruang untuk membina, meluaskan punca pendapatan kerana kuasa berbelanja akan secara automatik meningkat.
“Lokaliti di kawasan ini bukan hanya dihuni oleh golongan B40, malah M40 dan T20 juga berada di kawasan ini, jadi ini secara tidak langsung akan merancakkan aktiviti ekonomi.
“Bila orang ramai mula datang ke kawasan ini, populasi akan bertambah jadi ia jelas akan meluaskan jajaran ekonomi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut berkata, Bertam yang merupakan kawasan di bawah parlimen berkenaan sudah tersedia dengan pelbagai bentuk pembangunan yang merangkumi pelbagai sektor.
Bagaimanapun usaha untuk terus memperkasakan kawasan berkenaan terhenti selepas beliau tewas pada PRU15 yang lalu.
Reezal berpendapat, penting baginya untuk memperoleh kemenangan kali ini dan kedudukan yang kukuh bersama kerajaan Persekutuan akan melancarkan usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
“Saya perlu ada dalam posisi yang baik (jadi kerajaan) untuk bantu Bertam kerana jika jadi pembangkang memang agak sukar untuk berkhidmat.
“Branding yang saya ada (Reezal Merican) merupakan satu kelebihan kerana nama saya telah dikenali ramai, bukankah itu satu kelebihan untuk saya bantu masyarakat dan menjadikan saluran bantuan itu lebih mudah.
“Trek rekod yang saya ada selama 10 tahun itu juga pernah dirasai sendiri oleh masyarakat di Kepala Batas dan juga Bertam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu berkata, inisiatif bagi golongan anak muda juga akan terus diperkasa.
Menurutnya, pembangunan hab golongan belia menerusi inisiatif Kepala Batas Youth Centre (KBYC) juga telah mula digerakkan dan hanya menantikan fasa pembinaannya dalam masa terdekat.
Inisiatif KBYC yang menelan belanja sebanyak RM45 juta akan merangkumi pelbagai bentuk fasiliti yang seterusnya akan membantu perkembangan anak muda dengan lebih meluas.
Reezal bakal berentap dengan pesaingnya, Khaliq Mehtab yang mewakili Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan bekas ADUN di kawasan tersebut pada PRN15 kali ini.