PRN: UMNO lantik Menteri Angkat atur strategi di 6 negeri

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 14, 2023 20:55 MYT
Ahmad Zahid mengumumkan enam ahli Majlis Tertinggi Umno dan menteri dilantik sebagai penjaga untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: UMNO akan terus memastikan kesiapsiagaan jentera parti itu berada pada tahap optimum bagi menghadapi Piliha Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi membabitkan enam buah negeri.
Bagi tujuan itu, Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan enam ahli Majlis Tertinggi Umno dan menteri dilantik sebagai ‘penjaga’ untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik.
Ini membabitkan Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Seperti apa yang diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Majlis Tertinggi UMNO telah mencapai kata sepakat melantik Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai koordinator bagi enam PRN," kata Ahmad Zahid.
Mohamad Hassan yang juga Menteri Pertahanan dilantik untuk menjadi Menteri 'caretaker' (Menteri Angkat) bagi Negeri Sembilan, Datuk Seri Mahadzir Khalid dipertanggungjawabkan bagi Kedah, Naib Presiden yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin pula untuk Terengganu.
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022 DI SINI
"Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Kelantan), dan Iron Lady, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di Pulau Pinang," kata Ahmad Zahid.
"Di Selangor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz," katanya semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
#Zahid Hamidi #Mohamad Hassan #PAU2022 #pilihan raya negeri
;