PRN: UMNO harus berubah jika tidak mahu terus dilupakan - Ketua Pemuda

Afiezy Azaman
Ogos 13, 2023 10:22 MYT
Parti politik Melayu terbesar, UMNO perlu berubah sekiranya tidak mahu dilupakan terus oleh rakyat pada masa depan, kata Dr Muhamad Akmal Saleh. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Parti politik Melayu terbesar, UMNO perlu berubah sekiranya tidak mahu dilupakan terus oleh rakyat pada masa depan.
Gesaan itu disuarakan Ketua Pemuda parti itu, Dr Muhamad Akmal Saleh yang turut menyarankan pemimpin UMNO mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Tegas beliau, membawa suara rakyat perlu diutamakan oleh UMNO dan bukannya suara pemimpin.
"Ramai yang bercakap mengenai kekalahan UMNO yang besar berbanding dengan kemenangan besar parti lain.
“Maksud di sini ramai yang masih sayangkan UMNO tetapi tidak percaya pada UMNO. Berani untuk berubah, jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan," katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebook beliau, pada Ahad.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung semalam menunjukkan UMNO hanya menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua enam negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Dalam PRN itu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi DUN.
Pencapaian terbaik UMNO adalah di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, sementara di Kelantan, parti itu mengekalkan kemenangan di satu kerusi DUN di Galas.
UMNO, bagaimanapun, gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.
#PRN #UMNO harus berubah #Ketua Pemuda UMNO #Dr Muhamad Akmal Saleh
;