PRN ujian buat Bersatu buktikan, walau tiada wang sesen, rakyat tetap sokong - Muhyiddin

Rahimah Abdullah
Mac 12, 2023 19:57 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat akan bangkit dan mengajar Kerajaan yang ada sekarang dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRN nanti. - Facebook Live
KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi akan menjadi ujian kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuktikan rakyat tetap memberi sokongan walaupun parti itu sudah tidak mempunyai wang.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat akan bangkit dan ‘mengajar’ Kerajaan yang ada sekarang dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRN nanti.
“Apa sebab kita tidak ada duit? Salah siapa? Siapa jahat? Bukan jahat, zalim kata Rina. Memang mereka nak ‘bunuh kita’. Tetapi pilihan raya ini ujian bagi kita untuk membuktikan walaupun kita tidak ada wang satu sen pun, rakyat akan bangun, dan menentang mereka dan kita boleh menang serta mencapai kejayaan.
“Biar rakyat ajar mereka. Beritahu pada mereka, kami tidak mahu dan percaya pada mereka. Kami percaya pada Perikatan Nasional. Tak apalah jentera tak ada duit, tetapi mereka tak akan tahan lama, mereka tak mahu keadaan ini berterusan dan pergi ke tempat buang undi dan jangan tanya siapa mereka akan pilih, sebab pasti mereka akan pilih PN,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahun Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di sini pada Ahad.
Malah, beliau yang juga Pengerusi PN yakin anak muda di seluruh negara akan menyokong gabungan parti itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin telah memberi kebenaran kepada jentera parti untuk berunding mengenai kerusi PRN yang akan ditandingi.
Namun, sebarang keputusan mengenai rundingan kerusi PRN hanya boleh dibuat di peringkat parti nasional.
“Ini bagi membolehkan rundingan pasal kerusi itu dibuat di peringkat tertinggi, dipimpin oleh Timbalan Presiden dan jawatankuasa. Sudah boleh bincang,” ujarnya.
Malah katanya, dalam pertemuan dengan ketua-ketua dalam PN, rundingan mengenai kerusi PRN juga telah hampir selesai.
“Minta nama bakal-bakal calon sekarang. Siapa nak jadi calon? Tadi sudah dicadangkan Srikandi, Armada, dan orang yang banyak ilmu pengetahuan. Gandingan mereka ini sudah cukup berpengaruh dan berkesan,” katanya.
#Muhyiddin Yassin #PN #Bersatu #rakyat #politik
;